Permohonan Pemasangan Lampu Mata Arah

Lampu mata arah (beacon light) merupakan satu lampu penanda amaran pelbagai warna dan dikategorikan sebagai komponen aksesori yang dipasang di atas bumbung atau bahagian atas sesebuah kenderaan

Tujuan

Penggunaan lampu ini adalah bertujuan untuk memperingatkan pengguna-pengguna jalan raya yang lain bahawa mereka perlu memperlahankan kenderaan , berhati-hati dan berwaspada semasa berada di kawasan tersebut

Menurut kaedah 24 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lalulintas Jalan) 1959 hanya kenderaan Polis,Bomba,Ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak haluan (Priority Over Traffic) di mana-mana jalan raya negara ini. Walau bagaimanapun menurut Kaedah 138(1) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (pembinaan dan penggunaan ) 1959 , Ketua Pengarah JPJ Malaysia mempunyai kuasa untuk mengecualikan mana-mana kenderaan daripada mematuhi mana-mana kaedah yang sedia ada. Kenderaan kegunaan persendirian tidak akan dibenarkan memasang alat tersebut

Permohonan

Permohonan pemasangan lampu mata arah boleh dibuat dengan menghantar surat permohonan rasmi ke Jabatan ini. Surat permohonan tersebut hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:

  1. Latar belakang syarikat
  2. Tujuan Penggunaan alat
  3. Jenis alat yang akan digunakan
  4. Salinan kad pendaftaran kenderaan

Syarat

Permohonan pemasangan Lampu Mata Arah hendaklah mematuhi syarat-syarat yang berikut:

  1. Kenderaan berkenaan telah didaftarkan sebagai kenderaan kegunaan syarikat
  2. Hanya pemilik atau setiausaha syarikat sahaja yang berhak membuat permohonan ini-
  3. Kenderaan kegunaan persendirian tidak dibenarkan memasang dan menggunakan alat tersebut .

Pemasangan

  1. Lampu mata arah jenis panjang (light Bar) hendaklah dipasang di atas bumbung secara kekal tanpa membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
  2. Lampu mata arah jenis bulat (kecil) pula boleh dipasang di atas bumbung atau bahagian atas kenderaan sama ada secara kekal atau bermagnet.
  3. Penggunaan bunyi siren adalah dilarang sama sekali kecuali bagi Agensi Kerajaan yang dibenarkan oleh Undang-undang.

Penggunaan

Sesebuah kenderaan yang telah diberi kebenaran untuk memasang dan menggunakan lampu mata arah boleh menggunakannya semasa menjalankan tugas-tugas rasmi sahaja. Alat ini tidak boleh digunakan dengan sewenangnya kerana ini akan mengganggu aliran lalu lintas.