Proses Kelulusan Jenis Kenderaan ( VTA )

Proses Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) adalah satu proses yang dijalankan kepada semua model baru kenderaan sebelum proses pendaftaran dibenarkan. Proses ini diperkenalkan bagi mengawal identiti, dimensi, berat, ciri-ciri pembinaan dan spesifikasi sesebuah kenderaan agar menepati semua spesifikasi yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan. Bagi memastikan proses ini berjalan secara telus dan lancar, jawatankuasa yang dikenali sebagai National Committee for Type Approval and Homologation telah ditubuhkan bagi menilai setiap permohonan Kelulusan Jenis Kenderaan yang dibuat bagi memastikan setiap aspek kenderaan tersebut adalah selaras dengan peraturan semasa yang ditetapkan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia dan dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan seperti SIRIM, MIROS, MITI, MOT, KASTAM, PUSPAKOM, JAS, KPDNKK, MOSTI, Standards Malaysia dan juga Malaysian Automotive Institute (MAI).