Soalan Lazim
Lesen Memandu
 
Soalan lazim bagi pelaksanaan naiktaraf Lesen Memandu Bersalut Plastic (laminated) sedia ada kepada Lesen Memandu Bersekuriti Tinggi.
 
Adakah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menetapkan kadar harga bagi Belajar Memandu di Institut Memandu?
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menetapkan kadar harga untuk belajar memandu di Institut Memandu. Sebagai calon belajar memandu, adalah tangggungjawab calon supaya membuat perbandingan dari segi harga dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di beberapa buah Institut Memandu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk belajar memandu di sesebuah Institut Memandu.
Adakah Lesen Memandu Percubaan boleh ditukar kepada Lesen Memandu Kompeten sebulan sebelum tamat tempoh?
Mengikut prosedur yang ditetapkan, permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan hanya dibenarkan ditukar kepada Lesen Memandu Kompeten dalam masa 7 hari sebelum tamat tempoh. Sekiranya urusniaga pertukaran lesen dilakukan dalam tempoh 7 hari sebelum tamat tempoh, lesen hanya layak diberikan bagi tempoh 1 tahun sahaja.
Adakah lesen memandu Percubaan layak untuk memohon Permit Memandu Antarabangsa (IDP)?
Hanya pemegang Lesen Memandu Kompeten yang berumur 18 tahun dan keatas sahaja yang layak untuk memohon Permit Memandu Antarabangsa (IDP). Pemegang Lesen Memandu Percubaan (PDL) adalah tidak layak.
Adakah Lesen Memandu Percubaan Negara asing layak untuk memohon pertukaran lesen memandu Malaysia?
Ya, lesen memandu asing seperti Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) adalah layak untuk memohon pertukaran lesen memandu Malaysia dan hanya akan diberikan Kelas B dan D sahaja.
Bagaimana golongan kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan lesen memandu. Adakah terdapat keistimewaan kepada golongan tersebut?
Syarat permohonan lesen memandu golongan OKU adalah sama seperti permohonan biasa. Walaubagaimanapun, golongan OKU diberi kemudahan dengan membenarkan mereka membawa kenderaan yang telah diubahsuai semasa ujian Praktikal.
Berapakah umur kelayakan untuk mendapatkan Lesen Memandu kenderaan Barangan (GDL)?
Mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menetapkan syarat umur bagi permohonan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) ialah 21 tahun dan keatas.
Lesen Belajar Memandu (LDL) saya telah tamat tempoh melebihi 2 tahun. Adakah saya masih boleh memperbaharuinya bagi membolehkan saya duduki ujian praktikal?
Lesen Belajar Memandu (LDL) dibenarkan diperbaharui bagi tempoh 3 atau 6 bulan tetapi tidak boleh melepasi agregat 2 tahun daripada tarikh ia dikeluarkan. Sekiranya melepasi tempoh tersebut, calon perlu mengulangi semula semua elemen latihan dan ujian bagi mendapatkan Lesen Belajar Memandu (LDL).
Lesen Memandu Percubaan saya telah dibatalkan kerana kesalahan di bawah Sistem KEJARA. Adakah saya layak untuk merayu mengecualikan menduduki Ujian Bahagian 1 di Ibu Pejabat?
Pengecualian menduduki Ujian Bahagian 1 semula hanya diberi kepada pemohon yang gagal memperbaharui Lesen Memandu dalam yang ditetapkan sahaja. Ini bermakna, pemegang Lesen Memandu dibatalkan atas kesalahan KEJARA tidak layak untuk memandu.
Lesen Memandu Tamat Tempoh
Berapa lamakah tempoh lesen memandu tamat jika saya tidak memperbaharuinya?. Bagi Lesen P adalah setahun dan Lesen CDL adalah tiga tahun
Saya mempunyai lesen memandu Percubaan dan bercadang untuk memandu teksi. Bolehkah saya memohon Lesen Perkhidmatan Awam (PSV)?
Mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, pemegang lesen memandu (PDL) tidak layak memohon Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV). Pemohon perlu memegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan berumur tidak kurang 21 tahun dan mempunyai tahap kesihatan yang memuaskan sebelum layak memohon lesen memandu perkhidmatan awam (PSV).
Apakah yang dimaksudkan dengan inisiatif pengstrukturan semula lesen vokasional kepada satu bentuk?
Pengstrukturan semula lesen vokasional kepada satu bentuk adalah satu inisiatif kerajaan bagi memudahkan pemegang lesen yang memiliki lesen vokasional (PSV,GDL dan KONDUKTOR) memegang satu bentuk lesen vokasional sahaja.
Apakah yang dimaksudkan dengan penyelarasan tarikh tamat lesen memandu vokasional mengikut tarikh lahir?
Penyelarasan tarikh tamat lesen memandu vokasional mengikut tarikh lahir bermaksud apabila lesen memandu vokasional pemegang lesen tamat tempoh, tarikh tamat kuatkuasa lesen memandu vokasional tersebut akan diselaraskan dari tarikh tamat semasa kepada tarikh tamat mengikut tarikh lahir pemegang lesen vokasional pada tahun berikutnya.
Apakah rasional pelaksanaan inisiatif lesen vokasional satu bentuk dan tarikh tamat lesen memandu vokasional mengikut tarikh lahir pemegang lesen?
Rasionalnya inisiatif ini ialah:
  • Pemegang lesen vokasional yang mempunyai pelbagai jenis lesen vokasional (PSV,GDL dan KONDUKTOR) hanya perlu memegang satu bentuk lesen sahaja.
  • Untuk memberi kemudahan kepada pemegang lesen untuk mengingati tarikh membaharui lesen memandu vokasional mereka.
  • Inisiatif ini telah terpakai kepada pemegang lesen memandu kompeten yang telah sedia ada.
  • Mengurangkan kes pemegang lesen memandu vokasional tidak aktif dan mengurangkan kes rayuan untuk membaharui lesen memandu vokasional yang tamat tempoh melebihi 3 tahun dan
  • Sebagai alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan yang telah dilaksanakan oleh JPJ.
Apakah jenis lesen vokasional yang terlibat dalam inisiatif ini?
Pelaksanaan inisiatif ini melibatkan semua jenis lesen memandu vokasional iaitu PSV, GDL dan KONDUKTOR.
Bilakah inisiatif ini mula berkuatkuasa?
Inisiatif ini akan dilaksanakan mulai 15 Mac 2013.
Di manakah perkhidmatan bagi urusniaga penyelarasan penstrukturan semula lesen vokasional kepada satu bentuk dan penyelarasan tarikh tamat lesen vokasional mengikut tarikh lahir boleh dibuat?
Perkhidmatan bagi urusniaga ini disediakan di kaunter pejabat JPJ negeri /cawangan dan boleh diperolehi melalui aktiviti:
  • Permohonan baharu Lesen vokasional
  • Permohonan tambah kelas lesen vokasional
  • Permohonan pembaharuan lesen vokasional
  • Permohonan salinan lesen vokasional
  • Permohonan gantian lesen vokasional
Siapakah pemegang lesen yang terlibat?
Pelaksanaan inisiatif ini akan melibatkan semua pemegang lesen memandu vokasional (PSV, GDL dan KONDUKTOR). Bagi pemegang lesen vokasional warga Singapura, urusniaga hanya dibenarkan dilakukan di pejabat JPJ Negeri Johor (Stesen Johor Bharu) sahaja.
Apakah terdapat perubahan struktur atau kadar baru yang dikenakan bagi pelaksanaan inisiatif ini kepada pemegang lesen?
Pelaksanaan inisiatif ini tidak melibatkan perubahan kepada struktur fi lesen memandu vokasional. Kadar fi lesen vokasional bentuk baru dikekalkan iaitu RM20.00 setahun. Ini bermakna bagi mana-mana pemegang lesen vokasional yang mempunyai lebih daripada satu jenis lesen vokasional seperti lesen PSV dan GDL, mereka akan mendapat faedah di bawah pelaksanaan inisiatif ini memandangkan kadar fi struktur baru dikekalkan sebanyak RM20 setahun berbanding RM40 setahun sebelum ini.
Adakah pihak kerajaan memberikan apa-apa insentif bagi pelaksanaan pengstrukturan lesen vokasional kepada satu bentuk?
Bagi pelaksanaan inisiatif pengstrukturan lesen vokasional kepada satu bentuk baru, kerajaan bersetuju memberikan insentif kepada setiap pemegang lesen memandu vokasional berhubung pengenaan hanya satu nilai fi sahaja bagi kesemua jenis lesen vokasional.
Adakah pihak kerajaan memberikan apa-apa insentif bagi pelaksanaan sistem pembaharuan lesen memandu vokasional mengikut tarikh lahir?
  • Bagi pelaksanaan inisiatif sistem lesen memandu vokasional baru ini, kerajaan bersetuju:
    • Memberikan insentif kepada setiap pemegang lesen memandu vokasional warga Malaysia sahaja.
    • Pelarasan dengan amaun percuma atau rebet 50% kepada pemegang lesen memandu vokasional warga Malaysia.
    • Pelarasan dengan amaun percuma, rebet atau berdasarkan tempoh(bulan) hanya diberi sekali sahaja.
  • Bagi pemegang lesen memandu vokasional bukan warga Malaysia (SIN), fi yang dikenakan adalah berdasarkan kadar purata mengikut tempoh lesen memandu vokasional yang dipohon digenapkan mengikut bulan kelahiran.
Adakah tempoh tertentu ditetapkan kerajaan kepada pemegang lesen vokasional untuk mendapatkan insentif yang diberikan?
Kerajaan tidak menetapkan tempoh tertentu untuk mendapatkan insentif ini. Setiap pemegang lesen vokasional sedia ada dan pemegang lesen vokasional baharu layak menerima sekali (1) sahaja insentif tersebut.
Apakah implikasi bagi pemegang lesen vokasional yang lewat membaharui lesen mereka selepas pelarasan kali pertama tarikh lahir dibuat?
  • Di bawah sistem baharu ini, tarikh tamat lesen memandu vokasional akan sentiasa diselaraskan secara automatik dengan tarikh lahir. ii. Sekiranya pemegang lesen vokasional masih lagi terlupa atau lewat memperbaharui lesen memandu vokasional mereka selepas penyelarasan pertama dibuat,fi pembaharuan dikenakan berdasarkan kadar biasa.
Adakah pemegang lesen vokasional yang lahir pada 29 Februari atau pada tahun lompat juga diselaraskan?
Bagi pemegang lesen vokasional yang tarikh lahirnya ialah pada 29 Februari, tarikh tamat kuasa lesen vokasional mereka ialah pada 28 Februari dan tarikh kuatkuasa baru bagi pembaharuan adalah pada 1 Mac.
Kenderaan
Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan sekiranya wakil pemilik berdaftar hadir bagi tujuan sambungan perakuan pendaftaran kenderaan?
Perakuan pendaftaran kenderaan asal sahaja.
Apakah maksud salinan perakuan pendaftaran kenderaan?

Perakuan pendaftaran kenderaan bermaksud perakuan pendaftaran kenderaan asal telah tiada atas sebab-sebab berikut:-

  • hilang : tiada dalam kawalan dan simpanan yang disebabkan oleh keciciran, kecurian dan lain-lain sebab yang membawa maksud sedemikian; atau
  • binasa : tiada dalam kawalan dan simpanan yang disebabkan oleh kebakaran dan lain-lain sebab yang membawa maksud sedemikian; atau
  • rosak : ada dalam kawalan dan simpanan tetapi maklumat-maklumat kenderaan motor gagal dibaca dengan sempurna disebabkan oleh kejadian reput, terbakar, pudar dan lain-lain sebab yang membawa maksud sedemikian.

Perakuan Pendaftaran kenderaan baru yang dikeluarkan oleh jpj dinamakan sebagai salinan perakuan pendaftaran kenderaan.

Apakah Maksud Sambungan Perakuan Pendaftaran Kenderaan ?
Sambungan Perakuan Pendaftaran Kenderaan bermaksud Perakuan Pendaftaran Kenderaan asal masih ada tetapi tidak dapat dibuat cetakan dalam ruangan bayaran kerana telah penuh. Perakuan Pendaftaran Kenderaan asal akan diambil semula oleh JPJ dan Perakuan Pendaftaran Kenderaan baru yang dikeluarkan oleh JPJ dinamakan sebagai Sambungan Perakuan Pendaftaran Kenderaan.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan sekiranya lkm kenderaan tidak diperbaharui melebihi dari setahun?
Sekiranya lkm kenderaan tidak diperbaharui melebihi dari setahun, kenderaan perlu dibawa ke puspakom bagi mendapatkan laporan pemeriksaan kenderaan (b2). selepas itu, pemillik/wakil perlu hadir ke pejabat jpj bersama-sama dengan laporan b2, perakuan pendaftaran kenderaan asal dan bayaran yang secukupnya bagi tujuan pembaharuan lkm.
Bilakah sambungan perakuan pendaftaran boleh dilakukan?
Bila-bila masa. Selalunya apabila hendak melakukan sebarang transaksi seperti bayaran lkm, pertukaran milikan dan sebagainya dan petugas kaunter mendapati ruangan bayaran telah pun penuh.
Bolehkah kenderaan motor didaftarkan jika nombor casis telah diganggu?
Tidak boleh kerana menurut Seksyen 10 APJ 1987 iaitu permohonan untuk pendaftaran menyatakan bahawa tiada suatu pun kenderaan motor boleh didaftarkan kecuali kenderaan itu mempunyai nombor enjin dan casis yang terang, jelas dan tidak terusik.
Bolehkah pembaharuan lkm dibayar lebih awal dari tarikh tamat lkm?
Pembaharuan lkm dibenarkan dua bulan lebih awal dari tarikh tamat lkm.
Bolehkah wakil bagi pemilik berdaftar kenderaan hadir ke pejabat jpj bagi tujuan sambungan perakuan pendaftaran kenderaan?
Sepertimana membayar lkm, wakil dibolehkan hadir bagi pemilik berdaftar bagi tujuan sambungan perakuan pendaftaran kenderaan.
LKM saya telah luput tempoh, namun saya perlu ke puspakom bagi tujuan pemeriksaan kenderaan. tolong nasihati saya.
Pemilik berdaftar/wakil perlu membuat permohonan permit perjalanan sementara di pejabat jpj dengan syarat insurans elektronik telah dimasukkan dalam sistem komputer jpj. tiada bayaran dikenakan bagi permit perjalanan sementara.
Teknikal
Adakah basikal elektrik dibenarkan untuk digunakan di atas jalan raya?
Penggunaan basikal elektrik di atas jalan raya adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan di kawasan persendirian sahaja. Ini disebabkan perbezaan kelajuan maksima basikal elektrik dengan kenderaan yang lain boleh mendatangkan pelbagai implikasi di atas jalan raya.
Adakah basikal elektrik perlu berdaftar dengan JPJ?
Basikal elektrik TIDAK perlu berdaftar dengan pihak JPJ untuk digunakan.
Adakah pemasangan NGV kepada kenderaan persendirian perlu mendapatkan kelulusan JPJ?
Pemasangan NGV kepada kenderaan persendirian tidak perlu memohon kelulusan daripada pihak JPJ dan boleh terus ke PUSPAKOM untuk menjalani pemeriksaan.
Adakah pemasangan sunroof perlu mendapat kelulusan daripada pihak JPJ?
Pemasangan sunroof perlu mendapat kelulusan JPJ bagi memastikan kaedah yang digunakan semasa melakukan kerja-kerja pemasangan adalah bukan kaedah potong sambung.
Adakah penukaran enjin Daihatsu Charade Espri 1.0 kepada enjin Daihatsu Charade De Tomaso 1.6 dibenarkan oleh JPJ?
Penukaran enjin Daihatsu Charade Espri 1.0 kepada enjin Daihatsu Charade De Tomaso 1.6 dibenarkan jika tiada pengubahsuaian dilakukan pada base engine mounting kenderaan tersebut.
Adakah permohonan pemasangan lapik besi diwajibkan?
Untuk makluman, pembinaan sesebuah kenderaan itu haruslah mengikut pelan teknikal yang telah diluluskan. Pemasangan lapik besi boleh menggantikan lantai kayu yang telah reput atau rosak namun haruslah membuat permohonan di Bahagian Kejuruteraan Automotif di mana-mana JPJ Negeri yang berhampiran.
Apakah syarat untuk penukaran kabin kenderaan perdagangan?
Bagi penukaran kabin, hanya buatan yang sama sahaja dibenarkan dan mestilah tidak melibatkan kerja-kerja kimpalan.
Apakah syarat-syarat untuk membuat penukaran enjin sesebuah kenderaan?

Penukaran hendaklah mengikut peraturan-peraturan yang diisytiharkan di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan)1959 L.N. 170/1959.

  • Keadaan struktur keseluruhan kenderaan hendaklah baik terutamanya pada bahagian rangka casis (chassis frame).
  • Keadaan struktur keseluruhan kenderaan hendaklah baik terutamanya pada bahagian rangka casis (chassis frame).
  • Tiada pengubahan struktur dilakukan pada '˜front cross member', 'steering linkage' dan 'steering box'.
  • Tiada pengubahsuaian pada 'base engine mounting' dan tiada kimpalan pada struktur tambahan 'engine mounting'.
  • Pelepasan asap kenderaan tersebut mestilah tidak melebihi 50% 'opacity'. (Bagi enjin diesel sahaja).
  • Lulus pengujian tahap kecekapan sistem brek di lorong pemeriksaan.
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya penukaran enjin saya telah gagal pemeriksaan PUSPAKOM atas sebab terdapat gangguan pada 'engine mounting'
Sila bawa laporan gagal pemeriksaan PUSPAKOM tersebut ke JPJ Negeri yang berhampiran untuk pengesahan. Sekiranya benar terdapat gangguan, pemilik perlu mendapatkan pengesahan daripada Jurutera Profesional yang berdaftar dengan JPJ bagi mengesahkan keselamatan kenderaan tersebut di atas jalan raya.
Berapakah had maksima penukaran enjin bagi kenderaan model proton?
Pihak JPJ telah mengeluarkan arahan untuk tidak memberi kelulusan penukaran enjin berkeupayaan 2000 cc untuk kereta proton selain model Perdana. Hal ini adalah kerana struktur badan , sistem brek dan suspension model proton seperti SAGA, ISWARA, WIRA dan WAJA dan lain-lain tidak dapat menampung daya yang besar yang dikeluarkan oleh enjin 2000cc.
Automated Enforcement Systems (AES)
Apakah AES?
  • Penguatkuasaan secara automatik iaitu kesinambungan daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010.
  • Usaha berterusan aktivis keselamatan jalanraya (JPJ, PDRM, JKJR, MIROS, JKR) memberi tumpuan kepada 4E (Engineering, Enforcement, Education and Environment).
  • Perlu adaptasi sistem penguatkuasaan yang mapan (sustainable) dalam terus kekal mengubah sikap pemanduan tanpa mengira kadar pertambahan kenderaan, pemandu atau kekangan penguatkuasaan.
  • Pendekatan kepada system based approach yang mampu mengubah sikap pemanduan rakyat Malaysia.
  • Satu sistem pengesanan dan merakam secara automatik kesalahan lalu lintas menggunakan alat pengesan yang dipasang di atas jalan dan perakam imej kesalahan menggunakan kamera (gambar dan video).
Kenapa Perlu AES?
  • Penguatkuasaan kesalahan lalulintas secara elektronik adalah salah satu daripada kaedah penguatkuasaan.
  • AES adalah pemboleh (enabler) yang merangkumi (embody) semua usaha ke arah mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalanraya 2006-2010 dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan.
  • Adaptasi sistem penguatkuasaan yang mapan (sustainable) dalam terus kekal mengubah sikap pemanduan tanpa mengira kadar pertambahan kenderaan, pemandu atau kekangan penguatkuasaan.
  • AES mampu mengubah sikap, tingkah laku (behaviour) dan budaya pemanduan melalui penguatkuasaan:
    • 24 jam
    • Tidak bermusim
    • Tiada campur tangan manusia
  • Meningkatkan tahap PERCEPTION OF BEING CAUGHT (POBC) di kalangan pengguna jalanraya. (Pada hari biasa 25%, meningkat ke 50% di musin perayaan semasa Ops SIKAP berbanding di negara maju – 80% hingga 90%).
  • Penyelesaian kepada kos rawatan dan pemulihan kawasan sering berlaku kemalangan yang jumlahnya lebih 800 (blackspot) di seluruh Negara yang amat tinggi dan memakan masa yang lama.
Bagaimana AES berfungsi?
  • Penguatkuasaan kesalahan lalulintas secara elektronik adalah salah satu daripada kaedah penguatkuasaan.
  • AES adalah pemboleh (enabler) yang merangkumi (embody) semua usaha ke arah mencapai sasaran Pelan Keselamatan Jalanraya 2006-2010 dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan.
  • Adaptasi sistem penguatkuasaan yang mapan (sustainable) dalam terus kekal mengubah sikap pemanduan tanpa mengira kadar pertambahan kenderaan, pemandu atau kekangan penguatkuasaan.
  • AES mampu mengubah sikap, tingkah laku (behaviour) dan budaya pemanduan melalui penguatkuasaan:
    • Tidak mematuhi lampu isyarat
    • Memandu melebihi had laju
  • Maklumat kesalahan ini kemudiannya dihantar secara real time online ke Pusat Kawalan AES (Control Center). Maklumat diproses bagi mengenal pasti pemandu/pemilik kenderaan berdasarkan kepada maklumat pemilik/pemandu yang terdapat dalam pangkalan data JPJ.
  • Saman akan dikeluarkan secara automatik dan dihantar melalui pos kepada Orang Kena Saman (OKS).
  • Sistem juga secara automatik menghantar maklumat kes ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan jika OKS memilih untuk gagal membayar kompaun atau dibicarakan.
Apakah kelebihan penguatkuasaan kesalahan lalulintas melalui AES berbanding kaedah sedia ada?
  • Meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan melalui pengesanan (detection) dan pengeluaran saman secara telus, tepat dan berterusan.
  • Tidak perlu anggota penguatkuasa merakam kesalahan secara manual di tepi jalan setiap masa.
  • Sistem penguatkuasaan yang selamat, kerahsiaan, integriti dan kesediaan (24 jam). Mampu beroperasi 24X 7 X 360 siang dan malam dalam semua keadaan cuaca.
  • Tanpa campur tangan manusia. Ini akan meningkatkan integriti penguatkuasaan (tidak bermusim, tiada interaktif dengan pesalah dan unsur rasuah di tepi jalan).
  • Mampu mengesan kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan persendirian, komersial dan kenderaan pengangkutan awam.
  • Tentusah ukur (Calibration) bagi setiap peralatan pengesanan dan perakam imej kesalahan dibuat mengikut Akta pengukuran Kebangsaan 2007 agar kesalahan menjadi kes prima facie.
  • Penghantaran data/gambar sukar diceroboh (encryption) kerana dihantar secara automatik setelah kesalahan dikesan.
  • AES secara langsung menjadi pencetus bagi tujuan mengajar/membentuk pemandu agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas jalan.
  • Struktur sistem direkabentuk agar tindakan undang-undang tidak boleh disangkal atau dipertikai di mahkamah oleh pesalah. Memudahkan proses pendakwaan melalui penyediaan bahan bukti yang boleh diterima mahkamah (Control Centre di link ke semua Mahkamah Trafik melalui IT).
  • Tidak akan menyebabkan kesesakan lalulintas.
  • AES boleh digunakan untuk menguatkuasakan kesalahan-kesalahan lain di masa akan datang seperti:-
    • Memotong di garisan berkembar;
    • Memotong di sebelah kiri jalan;
    • Lebih Muatan;
    • Potong barisan;
    • Sekatan ke atas kenderaan berat yang memasuki kawasan bandar;
    • Penguatkuasaan laluan bas.
Apakah AES berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalanraya?
  • Sistem penguatkuasaan elektronik telah dilaksanakan di 90 negara lain di seluruh dunia.
  • Di Asia Tenggara, Thailand dan Vietnam telah mlaksanakan system digital traffic enforcement system.
  • Contoh keberkesanan AES di Negara-negara lain:
  • PERANCIS - Di Perancis kadar kematian turun 27% dalam tempoh 3 tahun sejak penggunaan sistem penguatkuasaan automatik.
  • JERMAN - Di lokasi yang dipasang, penurunan kelajuan telah menjadi budaya di kawasan dipasang sistem AES (penurunan kelajuan kenderaan dan pematuhan sebanyak 80% di mana kamera pengesan kelajuan dipasang).
  • KUWAIT - Kemalangan menurun 48%.
  • UNITED KINGDOM - Kadar pelanggaran peraturan trafik menurun pada kadar 6% daripada jumlah kenderaan berdaftar.
Jikalau AES begitu efektif, tidakkah sistem ini tidak lagi diperlukan pada masa hadapan?
  • Kalau AES begitu efektif, jumlah saman akan menurun namun begitu masih perlu diambilkira:
    • 9% pengguna jalanraya adalah yang tegar melakukan kesalahan (habitual offender).
    • Volume kenderaan bertambah pada kadar 10% setiap tahun.
    • Jumlah pemegang lesen bertambah.
    • Kilometer jalanraya bertambah.
    • Lokasi blackspot juga akan berubah jika kerja-kerja pembaikan dibuat di kawasan tersebut.
    • Isu yang penting adalah bukan jumlah saman dikeluarkan tapi perlu penyelesaian terhadap saman yang tidak diselesaikan.
Agensi manakah yang akan bertanggungjawab terhadap pelaksanaan AES?
  • Kementerian Pengangkutan Malaysia merupakan tuanpunya (owner) kepada AES.
  • Agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan adalah terlibat secara langsung dalam pelaksanaan AES:
    • JPJ bertanggungjawab melaksanakan AES secara langsung dan merupakan end user kepada sistem AES.
    • MIROS bertanggungjawab dalam penentuan lokasi pemasangan kamera daripada blackspot (kawasan sering berlaku kemalangan) dan kajian keberkesanan AES.
    • JKJR bertanggungjawab dalam advokasi dan kempen kesedaran jalanraya mengenai AES.
Apakah peranan PDRM di dalam AES?
  • PDRM akan menggunakan AES untuk mengesan jenayah dan tugas-tugas trafik.
  • Control Centre AES mempunyai Bilik Kawalan PDRM dan JPJ.
  • Mobile unit AES akan dikendalikan PDRM dan JPJ.
Apakah asas penentuan lokasi pemasangan kamera?
  • Penentuan lokasi pemasangan kamera bagi sistem AES dilaksanakan oleh MIROS dengan bantuan JPJ, PDRM dan JKJR.
  • Maklumat asas yang digunakan adalah berdasarkan dari laporan kemalangan PDRM (Pol.27).
  • Data daripada maklumat laporan ini dianalisa oleh pihak MIROS bagi mengenalpasti koordinat kawasan lokasi-lokasi kemalangan.
  • Seterusnya lokasi-lokasi tersebut diberi markah (ranking) mengikut kes-kes kemalangan. Kes kemalangan diberikan markah mengikut susunan tinggi ke rendah – kes kemalangan, cedera parah, cedera ringan dan kemalangan kecil. Lokasi yang mengumpul markah tertinggi diberi keutamaan untuk pemasangan kamera AES. Lokasi-lokasi juga dibuat sah.
Berapa bilangan kamera yang akan dipasang?
  • Jumlah kamera speeding 566 buah.
  • Jumlah kamera traffic light 265 buah.
  • Jumlah keseluruhan kamera 831 buah.
  • Mobile kamera (30%) 250 unit – operasi kamera-kamera mudah alih adalah bagi kawasan-kawasan kemalangan yang tiada infrastruktur (bekalan elektrik, liputan komunikasi dan sebagainya) untuk di pasang kamera statik.
Adakah rakyat akan marah dengan tindakan kerajaan melaksanakan AES?
  • Risiko kepada pelaksanaan sistem AES adalah ‘public outcry' kerana sistem secara drastik akan mengubah sikap pemanduan dalam masa yang singkat. Namun begitu rakyat mempunyai pilihan untuk tidak melanggar undang-undang.
  • AES akan dilaksanakan secara berperingkat. Dijangka siap sepenuhnya 100% dalam tempoh 18 bulan dari ianya mula dilaksanakan. Tempoh ini adalah cukup bagi kerajaan melaksanakan program kesedaran dan advokasi.
  • Program advokasi adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Keselamaatn Jalan Raya (JKJR) bagi memastikan pemahaman dan penerimaan rakyat terhadap pematuhan undang-undang jalanraya, tanggungjawab menyelesaikan kes kesalahan trafik dan kesedaran keselamatan jalanraya.
  • Lokasi pemasangan kamera tetap AES bukan rahsia tetapi diwar-warkan sebagai peringatan kepada pengguna jalanraya. Papan tanda amaran akan dipasang sebelum pengguna jalanraya menempuh kawasan yang dilengkapi kamera AES.