KENYATAAN MEDIA RASMI

KENYATAAN MEDIA : MEMPERKASA SEKTOR PENGANGKUTAN AWAM DARAT

Selaras dengan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan untuk memperkukuh dan mereformasikan institusi kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan integriti, ketelusan dan kecekapan perkhidmatan, pelbagai langkah dan mekanisma telah dan akan diambil khususnya bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Jabatan dan Agensi di bawah seliaannya.


Dalam minggu pertama sebagai Menteri Pengangkutan, saya telah melakukan beberapa siri lawatan kerja ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi mendapatkan maklumat, mengadakan diskusi dan bertukar pandangan dalam usaha bagi memperkukuh sektor pengangkutan awam negara. Beberapa pendekatan positif dan halatuju masa hadapan JPJ dan JKJR telah dapat kita rumuskan hasil lawatan ini.


Antaranya termasuk implementasi sistem e-bidding bagi menjamin ketelusan dan integriti proses bida nombor pendaftaran kenderaan yang pada masa ini dijalankan secara tender manual. Pendekatan ini membolehkan capaian yang lebih luas kepada pengguna dan pemilik kenderaan berpeluang membida nombor kenderaan dari seluruh Malaysia dengan lebih mudah.