KEJARA

Soalan Lazim Mengenai Sistem Kejara

1.     Apakah yang dimaksudkan dengan Sistem Kejara?

Sistem Kejara adalah singkatan kepada Sistem Kesalahan Jalan Raya, Iaitu suatu prosedur  pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.


2.     Apakah yang dimaksudkan dengan kesalahan terjadual?

Merupakan senarai kesalahan yang telah ditetapkan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Mata Demerit) 2017 yang mana menyenaraikan kesalahan dan jumlah mata yang akan diberikan kepada pemandu.


3.     Berapakah jumlah kesalahan terjadual yang telah disenaraikan dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Mata Demerit) 2017?

23 Kesalahan.


4.     Bilakah Sistem ini akan dikuatkuasakan?

Sistem ini akan mula berkuatkuasa pada 15 April 2017.


5.     Bilakah mata demerit diberikan kepada pemandu?

Pemandu yang melakukan kesalahan terjadual akan disaman dan apabila membayar kompaun atau mendapat hukuman daripada Mahkamah.


6.     Apakah kesan daripada pemberian mata demerit ini?

Mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan terjadual akan diberikan mata demerit seperti berikut:

Peringkat

Tindakan

Lesen Memandu Kompeten (CDL)

Lesen Memandu Percubaan (PDL)

20 mata pertama

Amaran

Batal

20 mata kedua

Lesen digantung 6 – 8 Bulan

-

20 mata ketiga

Lesen digantung 8 -10 bulan

-

20 mata keempat

Lesen digantung 10 – 12 bulan

-

 


7.     Adakah lesen memandu boleh dibatalkan?

Ya, Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dibatalkan oleh Ketua Pengarah JPJ apabila pemandu tersebut telah menjalani tiga kali penggantungan lesen memandu dalam tempoh lima tahun, manakala bagi Lesen Memandu Percubaan (PDL) boleh dibatalkan apabila mata demerit mencapai 20 mata atau lebih.


8.     Bolehkah pemandu yang telah mengumpul sejumlah mata demerit membuat rayuan untuk memdapatkan pengurangan mata?

TIDAK.

Pengurangan mata demerit sebanyak 50 peratus hanya boleh diberikan dalam keadaan berikut:

i.       mana-mana pemandu yang tidak melakukan kesalahan terjadual dalam tempoh dua belas bulan daripada kesalahan terakhir; atau

ii.      JPJ telah menawarkan kursus pemulihan kepada pemegang lesen memandu yang telah mengumpul sejumlah mata demerit.


9.     Berapa kalikah insentif pengurangan mata ini boleh diberikan kepada pemegang lesen memandu?

Insentif ini hanya diberikan sekali sebelum tempoh penggantungan atau sebelum pembatalan lesen memandu.


10.     Apakah kesan daripada penggantungan/pembatalan lesen memandu ini?

i.         Tidak boleh memandu dalam tempoh penggantungan/pembatalan.

ii.       Tidak boleh memohon lesen memandu apa-apa kelas dalam tempoh penggantungan/pembatalan.

iii.     Lesen memandu dan kenderaan pemandu akan disenaraihitamkan dalam tempoh penggantungan/pembatalan.


11.     Apakah menjadi satu kesalahan mana-mana orang yang memandu ketika lesen memandunya digantung atau dibatalkan?

Menjadi satu kesalahan jika mana-mana pemandu yang memandu suatu kenderaan motor ketika lesen memandunya digantung atau dibatalkan.  Kesalahan ini akan dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada tiga ribu ringgit dan tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.


12.     Semasa lesen digantung saya telah melakukan kesalahan terjadual.  Adakah saya masih lagi diberikan mata demerit?

YA. Mata demerit tetap akan diberi walaupun ketika lesen memandu saya sedang digantung.


13.     Apakah kesan daripada pembatalan lesen memandu ini?

Apabila suatu lesen memandu dibatalkan oleh Ketua Pengarah di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Mata Demerit) 2017, seseorang itu boleh memohon semula lesen memandu baharu (bermula dengan Lesen Belajar Memandu LDL) iaitu selepas dua belas bulan daripada tarikh pembatalan lesen memandu itu.


14.     Adakah penggantungan/pembatalan lesen memandu kompeten akan memberi kesan kepada lesen Memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) atau Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL)?

YA. Penggantungan/pembatalan lesen memandu kompeten akan menyebabkan lesen vokasional (GDL dan PSV) sesorang itu turut digantung atau dibatalkan.


15.    Bagaimanakah caranya orang awam menyemak jumlah mata demerit?

Sebarang pertanyaan berhubung dengan sistem pemberian mata demerit boleh diemelkan kepada kejara @jpj.gov.my.


16.    Bagaimanakah cara JPJ memaklumkan mengenai penggantungan/pembatalan lesen memandu?

JPJ akan mengeluarkan notis amaran, penggantungan atau pembatalan lesen memandu kepada pemegang lesen memandu secara pos berdaftar kepada alamat pemegang lesen memandu.


17.    Bilakan penggangtungan atau pembatalan lesen memandu itu bermula?

Penggantungan atau pembatalan lesen memandu akan bermula apabila pemegang lesen memandu itu menyerahkan fizikal lesen memandunya di mana-mana pejabat JPJ yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dalam tempoh Dua Puluh Satu (21) hari daripada tarikh penyampaian notis itu dibuat atau selepas 21 hari daripada tarikh penyampaian notis itu.


18.    Apakah yang akan berlaku sekiranya lesen memandu tesebut tidak diserahkan?

Tindakan penggantungan/pembatalan tetap juga akan dilakukan sebaik sahaja tempoh Dua Puluh Satu hari (21) itu tamat.


19.    Lesen memandu saya telah digantung sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2017 dan 2018 dan seterusnya pada tahun 2023.  Adakah lesen saya akan dibatalkan?

TIDAK. Lesen memandu saya tidak akan dibatalkan kerana tiga (3) kali penggantungan lesen memandu saya berlaku melebihi lima tahun.