ARTIKEL PILIHAN KEJURUTERAAN AUTOMOTIF

Sistem Kekangan Kanak-Kanak (CRS)

SOALAN LAZIM BERKENAAN DASAR PEMAKAIAN SISTEM KEKANGAN KANAK – KANAK (CRS) DI DALAM KENDERAAN

 

Soalan 1 : Apakah yang dimaksudkan dengan Sistem Kekangan Kanak-kanak atau Child Restraint System (CRS)?

Sistem Kekangan Kanak – Kanak atau Child Restraint System (CRS) merupakan kelengkapan keselamatan di dalam kenderaan motor yang dikhususkan bagi penumpang kanak – kanak. Pemakaian CRS tersebut berfungsi untuk mengehadkan pergerakan badan penumpang kanak – kanak sekiranya berlaku pelanggaran atau pengurangan kelajuan secara mendadak kenderaan motor.

 

 

Soalan 2 : Mengapakah setiap penumpang kanak – kanak di dalam kenderaan perlu memakai CRS yang sesuai?

Penggunaan CRS yang sesuai dikalangan penumpang kanak – kanak adalah penting memandangkan mereka amat mudah terdedah kepada kecederaan yang serius berbanding dengan penumpang dewasa sekiranya terlibat di dalam sesuatu pelanggaran kenderaan motor atau situasi kenderaan sedang membrek kecemasan. Ini kerana, penumpang kanak – kanak mempunyai otot bahagian tengkuk yang lemah serta nisbah antara berat kepala dengan tubuh badan yang tinggi terutamanya bayi.

 

Soalan 3 : Siapakah kategori penumpang di dalam kenderaan yang wajib menggunakan CRS ini?

Penggunaan CRS adalah diwajibkan terhadap setiap penumpang kanak-kanak yang memenuhi kriteria seperti berikut:

  1. berumur di bawah 12 tahun;
  2. Berat kurang dari 36 kg; dan
  3. Tinggi kurang dari 136 cm.

 

Soalan 4 : Apakah standard mandatori yang perlu dipatuhi bagi CRS ini?

Setiap CRS hendaklah mempunyai pematuhan yang sah berdasarkan kepada Peraturan United Nations (UN) R44 atau R129 sahaja.

 

Soalan 5 : Bagaimanakah untuk mengenalpasti CRS dipasaran tempatan yang telah mematuhi standard mandatori ditetapkan oleh Kerajaan?

Setiap CRS yang mematuhi perundangan sedia ada hendaklah mempunyai pensijilan lengkap Peraturan UN R44 / R129 dan pelekat approval mark yang dikenali sebagai E-Mark pada CRS tersebut. Contoh E-Mark tersebut adalah seperti berikut;

 

 a) Contoh E-Mark pada CRS yang mematuhi kepada Peraturan UN R44 :-

 

 b) Contoh E-Mark pada CRS yang mematuhi kepada Peraturan UN R129 :-

 

 

Soalan 6 : Bagaimanakah nasib pengguna yang sudah membeli CRS tetapi tidak mematuhi standard mandatori ditetapkan? Adakah ia dibenarkan untuk meneruskan penggunaannya?

Mana – mana CRS yang telah dipasang pada kenderaan sebelum 1 Januari 2020 adalah dibenarkan untuk meneruskan pemakaiannya di dalam kenderaan motor tersebut walaupun ia tiada sebarang pematuhan terhadap Peraturan UN R44 atau R129.

 

Soalan 7 : Jika saya mempunyai 4 orang anak yang bawah 12 tahun, adakah perlu saya membeli CRS tersebut untuk kesemua anak-anak saya itu?

Setiap penumpang kanak-kanak di dalam kenderaan hendaklah diletakkan dalam CRS yang sesuai. Walaubagaimana pun, pengecualian pemakaian CRS boleh diberikan bagi situasi dimana bilangan penumpang dalam kenderaan tersebut telah menghalang pemakaian CRS yang sesuai.

 

Soalan 8: Adakah pemakaian CRS ini wajib terhadap penumpang kanak – kanak di dalam sesebuah Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Kenderaan Pelancongan?

Setiap penumpang kanak – kanak di dalam Kenderaan Perkhidmatan Awam dan Kenderaan Pelancongan turut wajib menggunakan CRS kecuali tiada CRS yang sesuai disediakan untuk kanak-kanak tersebut oleh pengendali atau pemunya berdaftar kenderaan itu.

 

Soalan 9 : Adakah menjadi kesalahan kepada saya jika saya menggunakan CRS pada tempat duduk penumpang hadapan kenderaan?

Tertakluk kepada kategori dan rekabentuk CRS tersebut, ia boleh dipasang pada mana – mana tempat duduk penumpang hadapan atau tempat duduk penumpang belakang yang telah dilengkapi dengan sistem sokongan ISO-Fixed atau tali pinggang keledar jenis 3-point. Mana – mana kategori CRS yang menghadap ke belakang, ia boleh dipasang pada tempat duduk penumpang hadapan melainkan fungsi beg gelembung udara / airbag tersebut telah dinyah-fungsikan.

 

Soalan 10 : Bagaimanakah sekiranya seseorang itu mempunyai anak bawah 12 tahun yang kelainan upaya atau OKU contohnya autism, hyperactive dimana anak itu sukar untuk diletakkan di dalam CRS?

Penumpang kanak – kanak tersebut boleh dikecualikan untuk pemakaian CRS atas faktor kesihatan. Namun begitu, kanak – kanak tersebut perlu mempunyai perakuan daripada pakar perubatan yang bertauliah terlebih dahulu.

 

Soalan 11 : Kenderaan saya tidak mempunyai tempat duduk yang dilengkapi dengan sistem ISO-Fixed, adakah saya perlu membeli kenderaan baru untuk tujuan pemakaian CRS yang selamat?

Tertakluk kepada kategori dan rekabentuk CRS, ia turut boleh dipasang pada mana-mana tempat duduk penumpang hadapan atau belakang yang telah dilengkapi dengan sistem tali pinggang keledar jenis 3-point.

 

Soalan 12 : Adakah terdapat sebarang pengecualian berhubung dengan penguatkuasaan pemakaian CRS di dalam kenderaan?

Dalam aspek penguatkuasaan pemakaian CRS di dalam kenderaan motor, pengecualian pemakaian CRS akan diberikan bagi situasi seperti berikut :-

  a) mana – mana kenderaan motor yang tidak direkabentuk bagi pemakaian CRS yang sesuai;

  b) bilangan penumpang di dalam kenderaan telah menghalang pemakaian CRS yang sesuai;

  c) faktor kesihatan yang telah diperakui oleh pakar perubatan; atau

  d) mana – mana Kenderaan Perkhidmatan Awam atau Kenderaan Pelancongan  yang tiada menyediakan CRS yang sesuai.

 

Soalan 13 : Adakah pihak JPJ akan menyediakan senarai model CRS yang telah mematuhi standard mandatori bagi rujukan kepada pengguna?

Setiap pengguna boleh menyemak senarai model CRS yang telah mempunyai kelulusan JPJ berkenaan pematuhan kepada Peraturan UN R44 atau R129 melalui portal rasmi JPJ iaitu www.jpj.gov.my

Previous