Soalan Lazim - SuperApp

1. Umum

Soalan Lazim (Umum) MyJPJ

1. Apakah aplikasi MyJPJ?

MyJPJ merupakan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kegunaan orang awam membuat transaksi seperti berikut:

  1. Semakan berkaitan Pelesenan Kenderaan seperti nombor terkini dan tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).
  2. Semakan berkaitan Pelesenan Pemandu seperti tarikh tamat lesen memandu dan keputusan ujian memandu.
  3. Semakan berkaitan Saman JPJ seperti mata demerit, saman dan senarai hitam.
  4. Pautan ke aplikasi bidaan nombor kenderaan (JPJeBid) dan aplikasi nombor giliran (JPJeQ).
  5. Laporan aduan kesalahan trafik (eAduan@JPJ).
  6. Laporan LMM dan LKM secara digital di profil pengguna.
  7. Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) — fungsi baharu pada masa depan yang akan dimaklumkan kelak.

2. Apakah perkhidmatan yang ditawarkan di aplikasi MyJPJ?

Perkhidmatan yang ditawarkan di aplikasi MyJPJ adalah seperti berikut:

  1. Semakan berkaitan Pelesenan Kenderaan seperti nombor terkini dan tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).
  2. Semakan berkaitan Pelesenan Pemandu seperti tarikh tamat lesen memandu dan keputusan ujian memandu.
  3. Semakan berkaitan Saman JPJ seperti mata demerit, saman dan senarai hitam.
  4. Pautan ke aplikasi bidaan nombor kenderaan (JPJeBid) dan aplikasi nombor giliran (JPJeQ).
  5. Laporan aduan kesalahan trafik (eAduan@JPJ).
  6. Paparan LMM dan LKM secara digital di profil pengguna.
  7. Pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) — fungsi baharu pada masa depan yang akan dimaklumkan kelak.

3. Siapakah yang boleh menggunakan aplikasi MyJPJ?

Pada ketika ini, aplikasi MyJPJ hanya boleh digunakan oleh individu warganegara Malaysia yang mempunyai ID.

4. Bagaimana jika pengguna aplikasi MyJPJ adalah bukan warganegara atau kategori syarikat (bukan individu)?

Capaian kepada aplikasi MyJPJ bagi bukan warganegara atau kategori syarikat (bukan individu) sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan kelak.

5. Di mana saya boleh muat turun aplikasi MyJPJ?

Capaian kepada aplikasi MyJPJ bagi bukan warganegara atau kategori syarikat (bukan individu) sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan kelak.

6. Adakah saya perlu membayar untuk muat turun aplikasi ini?

Aplikasi MyJPJ adalah PERCUMA untuk digunakan.

7. Apakah pra-syarat bagi mendaftar ID Pengguna (JPJeID) aplikasi MyJPJ ini?

Pra-syarat bagi mendaftar ID pengguna adalah seperti berikut:

  1. Nama Penuh;
  2. Nombor Kad Pengenalan;
  3. Alamat emel yang sah;
  4. Nombor Telefon Bimbit yang sah; dan
  5. Kod Sekuriti Lesen Memandu Malaysia (*Kod ini boleh didapati di paparan belakang Lesen Memandu pengguna); atau Nombor Rujukan (*Nombor rujukan boleh didapati di kaunter JPJ untuk pendaftaran JPJeID Advanced sahaja. Kod ini hanya sah untuk tempoh tujuh (7) hari dari tarikh dijana oleh kaunter).

8. Di mana boleh saya dapatkan Kod Sekuriti Lesen Memandu Malaysia?

Kod Sekuriti boleh didapati pada paparan bahagian belakang Lesen Memandu fizikal pengguna.

9. Bagaimana jika saya tidak mempunyai alamat emel?

Pada ketika ini, akaun emel adalah keperluan mandatori dan pengguna perlu mewujudkan akaun emel baharu bagi tujuan pendaftaran. Emel juga akan digunakan untuk penghantaran kod sekuriti bagi tujuan terlupa kata laluan. Pendaftaran ID tanpa akaun emel sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan setelah bersedia kelak.

10. Adakah pengguna perlu mendaftar sebagai pengguna jika ingin menggunakan aplikasi ini?

Ya, pengguna perlu mendaftar JPJeID/ID Awam MySIKAP terlebih dahulu untuk menggunakan aplikasi ini melalui saluran:

  1. Aplikasi MyJPJ (secara dalam talian); atau
  2. Portal Awam JPJ (secara dalam talian di https://public.jpj.gov.my/public/login.zul); atau
  3. Hadir di mana-mana Kios JPJ berdekatan; atau
  4. Hadir di Kaunter JPJ berdekatan; atau
  5. Hadir di mana-mana kaunter bergerak kenderaan JPJ Mobile.

11. Bagaimana jika saya ingin mendaftar ID pengguna JPJeID melalui aplikasi MyJPJ ini?
  • Langkah 1: Pada paparan Log Masuk, klik butang "Daftar Akaun Baharu" untuk mendaftar ID pengguna baharu.
  • Langkah 2: Masukkan ID Pengenalan di ruangan No. MyKad untuk menyemak jika ID yang ingin didaftarkan telah wujud atau belum.
  • Langkah 3: Jika ID yang dimasukkan masih belum didaftarkan, pengguna akan terus ke paparan "Daftar Akaun Baharu".
  • Langkah 4: Masukkan butiran pendaftaran seperti arahan yang dipaparkan di skrin dan tandakan di ruangan "Perakuan".
  • Langkah 5: Tekan butang "Hantar" untuk mendaftar.
  • Langkah 6: Setelah pendaftaran berjaya, skrin "Log Masuk Kali Pertama" akan dipaparkan. Masukkan butiran seperti arahan yang dipaparkan dan tekan butang "Seterusnya".
  • Langkah 7: Anda akan mendapat mesej pop-up "Rekod Berjaya Disimpan. Sila tetapkan kata laluan anda pada halaman seterusnya". Klik "OK" untuk ke laman Penetapan Kata Laluan.
  • Langkah 8: Masukkan kata laluan anda mengikut tetapan yang diperlukan dan tekan butang "Hantar".
  • Langkah 9: Anda akan menerima mesej "Rekod Berjaya Disimpan. Sila Log Masuk". Klik pada "OK" di bahagian bawah mesej untuk kembali ke laman Log Masuk.

12. Jika saya belum pernah mendaftar JPJeID tetapi mendapat paparan mesej "ID Pengguna telah didaftarkan. Sila log masuk", apa tindakan yang saya perlu lakukan?
  1. Tukar kata laluan baharu di menu 'Tetapan Semula Kata Laluan':
    • Isikan No. MyKad dan alamat emel yang telah didaftarkan.
    • Semak emel anda dan dapatkan kod TAC untuk penetapan kata laluan baharu.
  2. Jika lupa alamat emel yang telah didaftarkan, anda boleh menukar alamat emel baharu di menu 'Tetapan Semula Emel'.
  3. Hadir ke kaunter JPJ berhampiran; atau
  4. Hadir ke kaunter bergerak kenderaan JPJ Mobile berhampiran untuk menyemak/mengemaskini emel yang didaftarkan.

13. Bagaimana jika pengguna terlupa kata laluan?
  1. Klik pautan "Tetapan Semula Kata Laluan" pada paparan log masuk aplikasi.
  2. Masukkan ID Pengguna dan alamat emel yang didaftarkan.
  3. Pengguna akan menerima kod sekuriti (TAC) untuk set semula kata laluan.
  4. Masukkan kod sekuriti (TAC) yang diterima melalui emel.
  5. Masukkan kata laluan baharu bagi tujuan set semula kata laluan.
  6. Pengguna akan dibawa ke paparan Log Masuk.
  7. Masukkan No. MyKad pengguna dan kata laluan baharu yang telah dikemaskini.

14. Bagaimana jika pengguna terlupa emel yang didaftarkan pada akaun MyJPJ?

1. Pengguna boleh mengemaskini emel pada pautan 'Tetapan Semula Emel' di laman Log Masuk aplikasi (*Fungsi ini hanya boleh digunakan untuk JPJeID Standard sahaja. JPJeID Advanced yang didaftarkan melalui kaunter/kios menggunakan cap jari hanya boleh ditukar di kaunter JPJ sahaja).

Atau:

  • Hadir ke Kios JPJ berhampiran untuk menyemak/mengemaskini emel yang didaftarkan; atau
  • Hadir ke kaunter JPJ berhampiran; atau
  • Hadir ke kaunter bergerak kenderaan JPJ Mobile berhampiran.

15. Bagaimana saya ingin mengemaskini alamat emel terkini?
  • Hadir ke Kios JPJ berhampiran untuk menyemak/mengemaskini emel yang didaftarkan; atau
  • Hadir ke kaunter JPJ berhampiran; atau
  • Hadir ke kaunter bergerak kenderaan JPJ Mobile berhampiran; atau
  • Mengemaskini alamat emel terkini pada pautan 'Tetapan Semula Emel' yang terdapat di laman Log Masuk aplikasi.

16. Adakah sistem membenarkan saya kekal log masuk secara berterusan?

Aplikasi ini menyimpan maklumat log masuk di ruang storan telefon pintar (local storage) dan pengguna tidak perlu log masuk berulang kali. Namun, untuk tujuan keselamatan, pengguna boleh log keluar dari aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa.

17. Saya cuba log masuk tetapi paparan ‘loading’ lama dan skrin log masuk tidak dipaparkan.

Pada kebiasaannya, isu loading adalah disebabkan rangkaian telefon bimbit pengguna. Sila semak dan pastikan terdapat capaian ke internet daripada telefon bimbit pengguna.

Jika masalah berlanjutan, sila dapatkan bantuan melalui emel di infodigital@jpj.gov.my atau talian 03-2724 2522.

18. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan bantuan teknikal sekiranya menghadapi masalah semasa menggunakan aplikasi ini?

Anda boleh mendapatkan bantuan dengan menghantar butiran aduan melalui:

  • Emel: infodigital@jpj.gov.my
  • Talian: 03-2724 2522

19. Adakah maklumat peribadi saya yang dimasukkan dalam aplikasi ini selamat?

Aplikasi MyJPJ merupakan aplikasi yang dibangunkan dan diuruskan sendiri oleh Kerajaan dan Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat peribadi anda dilindungi berdasarkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

20. Aplikasi keluar ke skrin apabila cuba merakam video bukti kesalahan di Modul e-Aduan@JPJ

Anda dikehendaki merakam video bukti kesalahan terlebih dahulu menggunakan kamera di telefon bimbit anda. Kemudian, anda boleh memuat naik video dari Galeri semasa membuat aduan kesalahan trafik di Modul e-Aduan@JPJ.

21. Apakah Paparan Digital eLKM dan eLMM di aplikasi ini?

Pengguna boleh mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (eLMM) dan Lesen Kenderaan Motor (eLKM) versi digital secara terus di aplikasi MyJPJ.

22. Bagaimana jika saya ingin mengakses Paparan Digital eLKM dan eLMM saya?
  1. Log masuk ke aplikasi MyJPJ.
  2. Pada Halaman Utama, klik pada ikon Profil di bahagian bawah skrin.
  3. Paparan Lesen Memandu digital akan dipaparkan. Untuk melihat paparan Lesen Kenderaan Motor, klik pada tab "Lesen Kenderaan Motor" (Senarai kenderaan bagi "Motorsikal" dan "Selain Motorsikal" akan dipaparkan).

23. Bagaimana jika saya ingin mengemaskini gambar terkini di paparan lesen saya?

Pada ketika ini, pengguna boleh hadir ke kaunter JPJ berhampiran atau kaunter bergerak kenderaan JPJ Mobile.

Pengemaskinian gambar terkini secara dalam talian sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan kelak.

24. Bolehkah saya mengakses paparan digital jika saya telah log keluar dari aplikasi?

Tidak boleh. Pengguna perlu kekal log masuk bagi mengakses paparan digital eLKM dan eLMM. Fungsi bagi muat turun paparan digital dalam bentuk dokumen sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan setelah bersedia kelak.

25. Bagaimana jika telefon bimbit saya tiada liputan internet?

Paparan digital eLKM dan eLMM masih boleh diakses sekiranya:

  1. Pengguna tidak log keluar dari aplikasi MyJPJ; dan
  2. Pengguna pernah mengakses maklumat eLKM dan eLMM di aplikasi MyJPJ semasa mempunyai liputan internet.

26. Bagaimanakah membuat aduan sekiranya menghadapi masalah liputan atau capaian?

Anda boleh mendapatkan bantuan dengan menghantar butiran aduan melalui:

  • Emel: infodigital@jpj.gov.my
  • Talian: 03-2724 2522

27. Jika saya tiada telefon bimbit, bagaimana saya ingin mengakses paparan digital?

Pengguna boleh mengakses paparan digital eLKM dan eLMM di Portal Awam JPJ serta membuat cetakan sendiri di atas kertas atau tangkap layar (screenshot) salinan eLKM dan eLMM tersebut.

28. Jika telefon bimbit saya kehabisan bateri, bagaimana saya ingin mengakses paparan digital?

Pengguna boleh mengakses paparan digital eLKM dan eLMM di aplikasi MyJPJ atau Portal Awam JPJ lebih awal serta membuat cetakan fizikal di atas kertas atau tangkapan skrin (screenshot) sebagai sandaran.

29. Bolehkah jika saya ingin log masuk untuk mengakses paparan digital di telefon bimbit pengguna lain?

Boleh. Pengguna boleh log masuk menggunakan JPJeID mereka di telefon bimbit yang lain. Walau bagaimanapun, sila pastikan tindakan log keluar dilaksanakan agar paparan digital eLKM dan eLMM tidak kekal diakses di peranti tersebut.

30. Jika telefon bimbit saya digunakan oleh orang lain, bolehkah beliau mengakses paparan digital saya?

Sekiranya tindakan log keluar tidak dilaksanakan, paparan digital pengguna boleh diakses oleh orang lain yang menggunakan telefon bimbit tersebut.

31. Jika kenderaan adalah bukan milik saya, bagaimana dengan paparan digital eLKM tersebut?

Pemilik kenderaan boleh mengakses paparan digital eLKM di aplikasi MyJPJ atau Portal Awam JPJ serta membuat cetakan salinan eLKM tersebut untuk dikongsikan kepada pemandu lain.

Selain itu, pemilik kenderaan boleh menggunakan fungsi Kongsi LKM di tab Lesen Kenderaan Motor untuk memberikan akses terus paparan LKM digital kepada pengguna lain.

32. Paparan digital eLMM dan eLKM saya terlalu kecil. Bagaimana jika saya ingin melihat paparan digital tersebut secara penuh?

Pengguna boleh klik pada ikon Paparan Penuh yang tersedia di bawah paparan digital eLKM dan eLMM anda.

33. Bolehkah saya semak paparan lesen bagi pihak ketiga?

Tidak boleh. Maklumat paparan digital ini dilindungi dengan ID dan Kata Laluan secara individu.

34. Bolehkah pengguna melihat maklumat insurans kenderaan mereka?

Boleh. Maklumat tarikh luput insurans dipaparkan bersama maklumat paparan digital eLKM.

35. Apakah kegunaan Kod QR?

Penguatkuasa JPJ dan PDRM akan menggunakan kod QR untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang jalan raya khususnya di kawasan yang tiada liputan internet. Kod ini hanya boleh dibaca oleh perkakasan khas yang dibekalkan kepada pihak penguatkuasa sahaja.

36. Apakah maksud bagi status Kod QR berkuatkuasa dan tidak berkuatkuasa di ruangan paparan digital saya?
  • Berkuatkuasa: LKM/LMM pengguna masih sah dan belum tamat tempoh.
  • Tidak Berkuatkuasa: LKM/LMM pengguna tidak sah dan sudah tamat tempoh.

37. Bagaimanakah saluran pembaharuan sekiranya status LKM/LMM tidak berkuatkuasa?

Pengguna boleh membuat pembaharuan melalui:

  1. Portal Awam JPJ; atau
  2. Hadir ke Kaunter JPJ di cawangan terdekat; atau
  3. Hadir ke Kios JPJ di cawangan terdekat — untuk LKM sahaja; dan
  4. Hadir ke kaunter kenderaan bergerak (JPJ Mobile) terdekat.

2. Soalan Lazim JPJeID

Soalan Lazim JPJeID

1. Apakah yang dimaksudkan dengan ID Awam / JPJeID?

ID Awam atau JPJeID merupakan akaun yang mengandungi ID Pengguna dan Kata Laluan yang dimiliki secara sah oleh orang awam bagi tujuan mengakses portal awam JPJ MySIKAP / aplikasi mudah alih MyJPJ untuk melakukan urus niaga JPJ secara dalam talian.

2. Mengapa saya perlu mendaftar JPJeID?

Pendaftaran JPJeID merupakan pengurusan sekuriti yang mengawal dan memantau hak capaian pengguna ke dalam portal awam MySIKAP dan MyJPJ.

Pendaftaran JPJeID merangkumi pendaftaran agensi dan pendaftaran peribadi. Pendaftaran agensi terdiri daripada kategori Perniagaan, Syarikat, Pertubuhan dan Kerajaan. Manakala pendaftaran peribadi adalah bagi kategori pengguna awam.

Selain itu, pendaftaran JPJeID mempercepatkan proses kerja dan penyampaian perkhidmatan serta memberi penekanan kepada produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang lebih efisien dan cemerlang.

3. Saya ingin menggunakan portal MySIKAP dan aplikasi mudah alih MyJPJ tetapi tidak mempunyai akaun ID Awam / JPJeID. Apakah yang perlu saya lakukan?

Pengguna dikehendaki mendaftar terlebih dahulu untuk mendapatkan akaun JPJeID. Pendaftaran boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang https://public.jpj.gov.my/ atau secara terus melalui aplikasi mudah alih MyJPJ.

4. Saya mempunyai MyPR. Bolehkah saya mewujudkan akaun ID Awam / JPJeID?

Sekiranya anda mempunyai MyPR, anda boleh mewujudkan akaun ID Awam / JPJeID tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran. Pendaftaran boleh dilakukan pada portal awam MySIKAP atau menggunakan aplikasi mudah alih MyJPJ.

5. Apakah perbezaan JPJeID Advanced dengan JPJeID Standard?

JPJeID Advanced: Membolehkan capaian penuh kepada kesemua 38 transaksi portal awam MySIKAP. Pendaftaran perlu dibuat di kaunter atau kios JPJ kerana memerlukan imbasan biometrik (cap jari). Contoh transaksi yang memerlukan JPJeID Advanced adalah Permohonan Pertukaran Hakmilik bagi mengelakkan transaksi tidak sah tanpa pengetahuan pemilik.

JPJeID Standard: Terhad kepada 27 daripada 38 transaksi portal awam MySIKAP (contohnya Pembaharuan Lesen Memandu). Pengguna boleh mengakses transaksi ini sebaik sahaja selesai membuat pendaftaran dalam talian di portal awam MySIKAP atau aplikasi MyJPJ.

6. Mengapa pendaftaran JPJeID Advanced memerlukan saya pergi ke kaunter?

Pendaftaran JPJeID Advanced melalui proses verifikasi pengguna yang sah dan memerlukan imbasan biometrik (cap jari). Oleh itu perkhidmatan ini hanya disediakan di kaunter dan kios JPJ sahaja. Setelah verifikasi berjaya, pengguna akan menerima nombor rujukan untuk menaik taraf akaun melalui emel yang didaftarkan.

7. Apakah ciri-ciri pelayar (browser) yang diperlukan untuk melayari portal MySIKAP?
  1. Paparan terbaik menggunakan pelayar internet terkini (Microsoft Edge / Google Chrome).
  2. Resolusi paparan minimum 1024 × 768.

8. Bagaimana saya ingin memuat turun dan memasang aplikasi mudah alih MyJPJ?

Aplikasi mudah alih MyJPJ boleh dimuat turun daripada Google PlayStore, Apple AppStore, dan Huawei AppGallery menggunakan kata kunci carian "myjpj".

9. Adakah pengguna yang mendaftarkan diri sebagai pengguna peribadi boleh mendaftarkan diri sebagai wakil agensi?

Boleh, kerana ID pengguna peribadi tidak sama dengan ID pengguna syarikat walaupun individu tersebut mendaftarkan diri sebagai wakil syarikat. No. MyKad yang digunakan semasa pendaftaran syarikat adalah untuk tujuan pengesahan sahaja.

10. Apakah syarat-syarat untuk saya mewujudkan akaun di portal MySIKAP / aplikasi MyJPJ?
  1. Warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah, atau;
  2. Penduduk tetap Malaysia yang mempunyai MyPR sah; atau;
  3. Berumur sekurang-kurangnya 16 tahun; dan
  4. Mempunyai sekurang-kurangnya satu rekod transaksi dengan JPJ.

11. Bagaimana sekiranya saya tidak memenuhi syarat-syarat untuk mewujudkan JPJeID?

Sekiranya tidak memenuhi syarat pendaftaran, anda diminta hadir ke kaunter JPJ berhampiran untuk mewujudkan rekod pengguna terlebih dahulu bagi membolehkan pendaftaran JPJeID dilaksanakan.

12. Bolehkah saya menukar Kata Laluan?

Boleh. Anda dinasihatkan untuk menukar Kata Laluan secara berkala (maksimum setiap 120 hari) menggunakan pautan yang disediakan di laman sesawang https://public.jpj.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih MyJPJ.

13. Bolehkah saya membuat pertukaran ID Pengguna?

Tidak boleh. ID Pengguna adalah unik berasaskan nombor pengenalan diri dan tidak boleh diubah.

14. Bolehkah saya membuat pertukaran E-mel?

Boleh. Walau bagaimanapun, pertukaran emel bagi akaun JPJeID Advanced hanya boleh dilaksanakan di kaunter atau kios JPJ.

15. Mengapakah saya perlu mewujudkan ID Pengguna dan Kata Laluan?

ID Pengguna dan Kata Laluan adalah instrumen keselamatan bagi transaksi dalam talian antara anda dengan pihak JPJ. ID Pengguna bertindak sebagai pengenal pasti unik pemilik akaun, manakala kata laluan digunakan untuk mengesahkan identiti anda semasa log masuk.

16. Bagaimanakah caranya untuk melindungi ID Pengguna dan Kata Laluan saya?
  1. Jangan sesekali mendedahkan ID Pengguna dan Kata Laluan kepada orang lain melalui emel atau telefon.
  2. Pastikan anda Daftar Keluar (Log Out) setelah selesai urusan dalam talian.
  3. Tukar Kata Laluan secara berkala atau sekiranya mengesyaki kata laluan telah diketahui pihak ketiga.
  4. Gunakan kombinasi Kata Laluan yang unik dan kukuh.
  5. Elakkan daripada mengaktifkan fungsi "Remember Password" pada peranti awam.

17. Apakah transaksi berkaitan JPJ yang boleh saya gunakan sekiranya memiliki JPJeID?

Sila rujuk Lampiran Infografik JPJeID bagi senarai lengkap pecahan 27 transaksi untuk JPJeID Standard dan 38 transaksi penuh untuk JPJeID Advanced.

18. Saya mempunyai JPJeID, adakah saya masih boleh menggunakan perkhidmatan di kaunter?

Boleh. JPJ masih menyediakan urus niaga di kaunter fizikal, namun keutamaan perkhidmatan kaunter diberikan kepada urusan yang tidak ditawarkan menerusi portal awam, aplikasi MyJPJ, atau kios.

19. Sebelum ini saya telah mempunyai ID Awam, apakah perbezaannya dengan JPJeID dan perlukah saya mendaftar semula?

ID Awam dan JPJeID adalah entiti akaun yang sama. Sekiranya anda telah mempunyai akaun ID Awam MySIKAP, anda tidak perlu mendaftar semula.

20. Apakah saluran perkhidmatan dalam talian selain kaunter yang disediakan oleh JPJ?

JPJ menyediakan tiga (3) saluran perkhidmatan digital utama:

  1. Portal awam MySIKAP di https://public.jpj.gov.my.
  2. Aplikasi mudah alih MyJPJ (Google PlayStore, Apple AppStore, dan Huawei AppGallery).
  3. Kios JPJ yang ditempatkan di cawangan JPJ seluruh negara.

21. Adakah pengesahan cap jari masih diperlukan untuk JPJeID?

Pengesahan biometrik (cap jari) diperlukan sekiranya pengguna ingin menaik taraf akaun daripada JPJeID Standard kepada JPJeID Advanced di kaunter atau kios JPJ.

22. Adakah konsep pembahagian ID Standard dan ID Advanced terpakai untuk JPJeID?

Ya, struktur JPJeID mengekalkan dua kategori utama iaitu akaun Standard (akses asas) dan akaun Advanced (akses penuh).

23. Bagaimana sekiranya saya ingin mendapatkan JPJeID Standard dan Advanced?

Pendaftaran JPJeID Standard boleh dilaksanakan sendiri secara dalam talian melalui portal MySIKAP atau aplikasi MyJPJ. Bagi JPJeID Advanced, pengguna perlu hadir ke kaunter atau kios JPJ berdekatan untuk pengesahan biometrik (cap jari).

24. Saya terlupa untuk mengaktifkan akaun dan nombor rujukan telah tamat tempoh. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan?

Sila masukkan nombor rujukan lama pada menu "Log Masuk Kali Pertama". Sistem akan menjana nombor rujukan baharu dan menghantarnya terus ke alamat emel yang didaftarkan.

25. Saya cuba untuk log masuk kali pertama tetapi sistem memaparkan ralat "Nombor rujukan tidak wujud"?

Sila kemukakan emel kepada helpdeskidm@jpj.gov.my berserta tangkapan skrin (screenshot) paparan ralat tersebut dan butiran nombor pengenalan diri anda (MyKad / MyPR).

26. Saya ingin menamatkan akaun JPJeID. Bagaimanakah caranya?

Pemilik akaun JPJeID (ID Awam) boleh memohon penamatan akaun secara rasmi dengan menghantar permohonan melalui emel ke helpdeskidm@jpj.gov.my.

3. Soalan Lazim Lesen Kenderaan Motor (e-LKM)

Soalan Lazim Lesen Kenderaan Motor (e-LKM)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan inisiatif Pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM)?

Pendigitalan LKM atau cukai jalan sepertimana yang diumumkan oleh YB Menteri Pengangkutan pada 10 Februari 2023 adalah pelaksanaan transaksi LKM secara dalam talian (online) dan paparan maklumat secara digital menggunakan Aplikasi MyJPJ yang dimuat naik dalam telefon pintar (smartphone) orang awam atau boleh diakses melalui Portal JPJ. Melalui inisiatif pendigitalan ini, fizikal disk LKM tidak perlu lagi dicetak, dipamerkan atau dilekatkan pada cermin kenderaan sepertimana pada masa ini.

2. Bilakah pelaksanaan Pendigitalan LKM ini akan bermula?

Pelaksanaan inisiatif ini akan dibuat secara berperingkat dengan peringkat pertama melibatkan paparan secara digital melalui Aplikasi MyJPJ atau Portal Awam bagi LKM melibatkan kenderaan persendirian individu sahaja yang bermula pada 10 Februari 2023 di seluruh negara.

3. Bagaimana dengan urus niaga pembaharuan LKM dan adakah terdapat keperluan untuk disk LKM tersebut dicetak?

Pada peringkat ini, pembaharuan LKM masih dilakukan menggunakan saluran sedia ada iaitu di kaunter JPJ, pejabat pos, MyEG, PUSPAKOM, kios atau portal JPJ. Walau bagaimanapun, orang awam diberikan pilihan sama ada mahu mencetak dan mempamer disk LKM pada cermin kenderaan atau tidak membuat cetakan disk LKM, sebaliknya menggunakan paparan digital yang dijana melalui aplikasi MyJPJ atau Portal JPJ.

4. Bagaimana pula dengan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan yang dimiliki oleh syarikat/pertubuhan/entiti?

Pelaksanaan pendigitalan LKM bagi kenderaan selain persendirian individu (kenderaan persendirian syarikat, kenderaan perdagangan dan lain-lain) akan diumumkan kemudian setelah pelaksanaan fasa pertama ini teratur, sistem bersedia dan mendapat maklum balas daripada orang awam. Sehingga pengumuman tersebut dibuat, prosedur dan undang-undang semasa melibatkan urus niaga pembaharuan LKM dan cetakan disk LKM termasuk paparan pada cermin kenderaan adalah terpakai.

5. Adakah terdapat perubahan bayaran fi LKM atau cukai jalan setelah pelaksanaan Pendigitalan LKM ini?

Kadar bayaran fi LKM bagi semua kenderaan adalah sama dan tiada peningkatan bayaran tambahan susulan pelaksanaan ini. Inisiatif pendigitalan LKM sepenuhnya turut menjimatkan masa dan kos kepada pengguna.

6. Bagaimanakah pelaksanaan Pendigitalan LKM sekiranya kenderaan tersebut milik orang lain dan kenderaan diurus atau digunakan oleh orang lain?

Bagi kenderaan yang dimiliki dan digunakan oleh orang berbeza (contohnya kenderaan dimiliki oleh ibu bapa tetapi digunakan oleh anak), aplikasi MyJPJ mempunyai fungsi tanggungan (dependent) yang membolehkan individu dilantik untuk mendaftar, mengurus dan mengawal selia rekod sesebuah kenderaan.

7. Bagaimana jika saya tidak mempunyai telefon pintar (smartphone)?

Jika orang awam/pemilik kenderaan tidak mempunyai telefon pintar, disk LKM yang dicetak boleh dipamerkan pada cermin hadapan kenderaan atau membawa resit urus niaga yang dijana semasa pembaharuan LKM sebagai bukti sah laku LKM masih berkuat kuasa dalam tempoh interim.

8. Bagaimana jika saya menggunakan kenderaan milik orang lain?

Pemandu atau orang yang membawa kenderaan tersebut perlu mendapatkan salinan tangkap layar (screenshot) pendigitalan LKM daripada pemilik kenderaan sekiranya disk LKM tidak dipamerkan pada cermin hadapan kenderaan, atau menggunakan fungsi Kongsi LKM.

9. Bagaimana sekiranya berada di kawasan yang tiada liputan internet?

Pemilik atau pemandu kenderaan boleh menyimpan salinan tangkap layar (screenshot) pendigitalan LKM dan mengemukakannya apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penguat kuasa di lapangan.

10. Apakah terdapat sebarang talian yang boleh dihubungi sekiranya terdapat pertanyaan atau masalah mengenai Pendigitalan LKM?

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel rasmi di infodigital@jpj.gov.my.

11. Sekiranya pendigitalan LKM ini dikuatkuasakan kelak, adakah ianya Mesra OKU?

Ya. Pelaksanaan pendigitalan LKM ini turut melibatkan kenderaan yang telah mendapat status Kenderaan Orang Cacat (KOC) atau yang telah membuat pengisytiharan LKM OKU sebelum ini. Urus niaga pembaharuan LKM dengan keistimewaan pengecualian bayaran fi boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu hadir ke kaunter setelah fungsi pembaharuan melalui aplikasi MyJPJ diaktifkan kelak.

12. Adakah warga asing juga dimandatorikan untuk memuat turun aplikasi MyJPJ?

Pada masa ini, penggunaan aplikasi MyJPJ melibatkan paparan LKM secara digital hanya melibatkan kenderaan persendirian individu yang dimiliki oleh warganegara sahaja.

13. Adakah data pengguna di dalam sistem MyJPJ dilindungi undang-undang? Bagaimana jika berlaku kebocoran data?

Ya. Data pemilik kenderaan dilindungi di bawah akta-akta berkaitan. Sekiranya mengesyaki berlaku ketirisan data, anda boleh membuat aduan kepada JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel di infodigital@jpj.gov.my.

14. Adakah aplikasi MyJPJ tersedia untuk kenderaan yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Pulau Bebas Cukai?

Ya. Pelaksanaan pendigitalan LKM melalui aplikasi MyJPJ atau Portal Awam JPJ meliputi seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak serta kawasan Pulau Bebas Cukai (Pulau Langkawi dan Wilayah Persekutuan Labuan).

15. Bagaimana jika pemilik kenderaan perlu ke luar negara melalui laluan sempadan negara berjiran yang memerlukan pelekat LKM?

Dalam fasa interim ini, orang awam masih dibenarkan mencetak disk LKM fizikal sekiranya diperlukan bagi tujuan rentas sempadan.

16. Bolehkah saya mendapatkan LKM bercetak sekiranya tidak mahu menggunakan aplikasi?

Boleh. Orang awam diberi fleksibiliti sama ada memilih untuk mencetak pelekat/kertas LKM atau menggunakan paparan e-LKM digital melalui aplikasi MyJPJ.

17. Saya pemandu e-hailing sepenuh masa menggunakan kenderaan milik keluarga. Bagaimana cara mengakses LKM untuk kegunaan harian?

Bagi pemandu yang menggunakan kenderaan milik orang lain, anda boleh mendapatkan salinan tangkap layar (screenshot) pendigitalan LKM daripada pemilik kenderaan sekiranya disk LKM tidak dipamerkan, atau meminta pemilik membuat perkongsian melalui modul "Kongsi LKM" di MyJPJ.

18. Adakah kenderaan milik syarikat yang digunakan oleh kakitangan layak menggunakan paparan digital MyJPJ?

Pada masa ini, pelaksanaan pendigitalan LKM hanya melibatkan kenderaan persendirian yang didaftarkan atas nama individu warganegara sahaja. Kenderaan persendirian syarikat akan dilaksanakan pada fasa seterusnya yang akan dimaklumkan kelak.

19. Saya tidak mempunyai perbankan dalam talian (online banking). Bolehkah bayaran pembaharuan dibuat secara tunai?

Dalam fasa interim ini, urus niaga pembaharuan LKM masih boleh dilaksanakan di saluran sedia ada secara tunai sama ada di kaunter JPJ, kaunter Pejabat Pos, mahupun kaunter PUSPAKOM.

20. Tarikh mula dan tamat e-LKM tidak dikemas kini selepas urusan pembaharuan dibuat. Apa tindakan saya?

Sekiranya maklumat tidak dikemas kini selepas pembaharuan, anda boleh membuat aduan kepada pihak JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel di infodigital@jpj.gov.my untuk penyelarasan rekod.

21. Jika telefon pintar saya hilang atau dicuri, adakah perlu maklumkan kepada JPJ?

Ya. Anda dinasihatkan memaklumkan perkara tersebut kepada JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel di infodigital@jpj.gov.my untuk tindakan sekatan atau penetapan semula akaun bagi mengelakkan salah guna.

22. Adakah akaun aplikasi MyJPJ disekat sekiranya pemilik asal kenderaan meninggal dunia?

Pihak JPJ akan mengenakan sekatan terhadap akses profil sekiranya pemilik kenderaan disahkan telah meninggal dunia tertakluk kepada pengesahan data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

23. Bagaimanakah LKM kenderaan pemilik yang telah meninggal dunia diperbaharui oleh waris?

Buat masa ini, pembaharuan LKM bagi pemilik yang telah meninggal dunia diteruskan melalui prosedur dan saluran sedia ada di kaunter JPJ sehingga fungsi digital berkaitan diumumkan kelak.

24. Adakah urus niaga pembaharuan di rakan niaga (cth: MyEG) dikemas kini dalam aplikasi MyJPJ?

Ya. Sebarang transaksi pembaharuan yang berjaya dilakukan melalui saluran rakan strategik akan diselaraskan secara automatik ke dalam pangkalan data MySIKAP dan dipaparkan dalam aplikasi MyJPJ.

25. Bolehkah kenderaan e-hailing memperbaharui LKM melalui aplikasi MyJPJ?

Pada masa ini pembaharuan LKM kenderaan e-hailing masih menggunakan saluran sedia ada di kaunter. Pembaharuan secara terus melalui aplikasi akan diperkenalkan pada fasa akan datang.

26. Bolehkah permohonan pembatalan dan bayaran balik (refund) LKM dibuat di aplikasi MyJPJ?

Tidak boleh. Bagi permohonan pembatalan dan bayaran balik fi LKM, pemilik perlu hadir ke kaunter JPJ berhampiran mengikut peraturan dan tatacara permohonan balik hasil yang ditetapkan.

27. Saya warganegara asing yang memiliki kenderaan persendirian. Bolehkah menggunakan paparan e-LKM?

Penggunaan paparan e-LKM aplikasi MyJPJ pada masa ini terhad kepada kenderaan milik individu warganegara. Pemilik bukan warganegara masih menggunakan dokumen fizikal LKM seperti biasa.

28. Adakah LKM yang tamat tempoh lebih daripada tiga (3) tahun boleh diperbaharui melalui aplikasi?

Fungsi ini akan disokong apabila modul pembaharuan LKM dalam talian MyJPJ beroperasi sepenuhnya kelak, tertakluk kepada syarat pemeriksaan kenderaan yang ditetapkan.

29. Jika melakukan proses tukar hak milik, adakah e-LKM digital perlu diserahkan kepada JPJ?

Bagi kenderaan yang menggunakan LKM digital, tiada penyerahan fizikal diperlukan. Penyerahan pelekat/kertas disk LKM hanya diwajibkan sekiranya pemilik masih memegang salinan fizikal LKM semasa urusan pertukaran milik dibuat.

30. Jika menukar nombor pendaftaran (interchange), bagaimana prosedur penyerahan e-LKM?

Tiada penyerahan dokumen diperlukan bagi kenderaan yang berstatus e-LKM digital. Penyerahan hanya perlu dibuat sekiranya kenderaan tersebut masih memegang sekeping disk fizikal asal.

31. Apakah fungsi "Kongsi LKM"?

Fungsi ini dibangunkan untuk membolehkan pemilik kenderaan berkongsi paparan LKM secara sah dengan pemandu lain (seperti ahli keluarga). Maklumat LKM yang dikongsi akan dipaparkan pada profil penerima di bawah tab 'Lesen Kenderaan Motor' ruangan 'LKM Dikongsi'.

32. Adakah semua LKM boleh dikongsi?

Hanya LKM yang masih berkuat kuasa sahaja boleh dikongsi. LKM yang telah tamat tempoh tidak menyediakan butang 'Kongsi LKM'.

33. Berapa lamakah tempoh LKM boleh dikongsi?

Ketetapan dan had tempoh perkongsian ditentukan sepenuhnya oleh pemilik kenderaan semasa proses perkongsian dibuat.

34. Bagaimanakah langkah untuk menggunakan fungsi Kongsi LKM?

A. Tindakan Pemilik Kenderaan:

  1. Klik Profil → Tab Lesen Kenderaan Motor.
  2. Pilih kenderaan yang hendak dikongsi dan klik 'Kongsi LKM'.
  3. Masukkan nombor MyKad penerima dan tetapkan tempoh perkongsian.
  4. Klik butang 'Hantar'. Salin kod keselamatan/pengaktifan yang dipaparkan dan serahkan kod tersebut secara peribadi kepada penerima.

B. Tindakan Penerima LKM:

  1. Klik Profil → Butang 'Jana Semula' → Tab Lesen Kenderaan Motor.
  2. Klik rekod LKM di ruangan 'LKM Dikongsi' (berstatus 'tidak aktif').
  3. Masukkan kod keselamatan yang diberikan oleh pemilik dan klik 'Hantar'. LKM akan bertukar menjadi aktif.

C. Semakan Status oleh Pemilik:

Pemilik boleh menyemak status perkongsian pada bila-bila masa melalui Profil → Tab Lesen Kenderaan Motor → butang status perkongsian kenderaan berkenaan.

35. Berapakah tempoh sah kod keselamatan perkongsian LKM?

Kod keselamatan adalah sah dalam tempoh 24 jam sahaja. Sekiranya penerima tidak mengaktifkan kod dalam tempoh tersebut, rekod perkongsian akan terbatal dan dipadam secara automatik.

36. Bolehkah pemilik membatalkan perkongsian LKM pada bila-bila masa?

Ya. Pemilik boleh menamatkan akses perkongsian pada bila-bila masa melalui Profil → Tab Lesen Kenderaan Motor → pilih kenderaan → butang 'Kongsi LKM' → tekan 'Hapus'.

37. Bolehkah pemilik memanjangkan atau memendekkan tempoh perkongsian LKM?

Ya. Pemilik boleh mengemas kini tempoh perkongsian melalui menu Profil → Tab Lesen Kenderaan Motor → pilih kenderaan → butang 'Kongsi LKM' → tekan 'Kemaskini'.

38. Berapakah had bilangan perkongsian LKM yang dibenarkan?

Tiada had kuantiti ditetapkan. Pemilik kenderaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap kebenaran akses LKM yang diberikan kepada individu lain.

4. Soalan Lazim Lesen Memandu Malaysia (e-LMM)

Soalan Lazim Lesen Memandu Malaysia (e-LMM)

1. Apakah inisiatif pendigitalan e-LMM JPJ?

Pemilik Lesen Memandu Malaysia (LMM) tidak lagi perlu memiliki lesen memandu fizikal dan boleh menggunakan paparan digital sepenuhnya melalui aplikasi MyJPJ.

2. Siapakah yang perlu memuat turun aplikasi MyJPJ?

Warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas serta memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM).

3. Apakah maklumat yang dipaparkan pada e-LMM?

Nama, nombor kad pengenalan, alamat pemegang lesen, jenis lesen memandu, kelas lesen memandu, tarikh kuat kuasa, gambar pemegang lesen, nombor siri lesen, dan Kod Quick Response (QR).

4. Adakah perlu menggunakan telefon pintar dengan storan besar untuk paparan e-LMM ini?

Tidak perlu. Aplikasi MyJPJ menggunakan saiz storan yang minima.

5. Sekiranya mempunyai lebih daripada satu (1) lesen memandu, bagaimana cara melihat lesen-lesen lain?

Semua lesen memandu yang dimiliki akan dipaparkan secara digital melalui aplikasi MyJPJ termasuk Lesen Vokasional (GDL/PSV).

6. Adakah saya akan menerima notifikasi peringatan sebelum lesen memandu tamat tempoh?

Ya. Sistem akan menghantar notifikasi peringatan tarikh tamat lesen memandu melalui Aplikasi Mudah Alih:

  • Peringatan Pertama: 1 bulan sebelum tarikh tamat lesen.
  • Peringatan Kedua: 2 minggu sebelum tarikh tamat lesen.
  • Peringatan Ketiga: 1 minggu sebelum tamat tempoh.
  • Notifikasi susulan akan tertera setiap minggu selama 1 bulan sekiranya lesen telah tamat tempoh.

7. Berapa lamakah tempoh lesen memandu tamat jika tidak diperbaharui?
  • Lesen Belajar Memandu (LDL): Boleh diperbaharui bagi tempoh 3 atau 6 bulan, tetapi tidak boleh melebihi agregat 2 tahun dari tarikh mula dikeluarkan.
  • Lesen Memandu Percubaan (PDL): Tamat tempoh sekiranya tidak ditukar dalam masa 1 tahun selepas tamat tempoh 2 tahun percubaan.
  • Lesen Memandu Kompeten (CDL): Tamat kuat kuasa sekiranya tidak diperbaharui melebihi 3 tahun dari tarikh akhir lesen.

8. Berapakah kadar fi bagi setiap jenis lesen memandu?

Kadar fi ditetapkan mengikut Jadual Fi Pelesenan JPJ yang berkuat kuasa berdasarkan kelas lesen dan warganegara.

9. Adakah e-LMM boleh digunakan di semua negara luar?

Tidak. Penggunaan e-LMM digital tertakluk kepada pengiktirafan undang-undang negara berkenaan.

10. Bagaimana cara untuk memandu di luar negara jika e-LMM tidak diterima di sana?

Warganegara Malaysia yang memiliki e-LMM perlu memohon salinan lesen fizikal secara dalam talian di aplikasi MyJPJ. Selepas permohonan dibuat, pemohon perlu hadir ke kaunter JPJ Negeri berhampiran untuk membuat cetakan fizikal dengan bayaran fi salinan sebanyak RM20.00.

11. Apakah Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada Kelas B?

Program Khas ini bertujuan untuk:

  1. Menaik taraf pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan; dan
  2. Menamatkan permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di Institusi Memandu (IM).

12. Bilakah Program Khas Peralihan Kelas B2/B1 kepada Kelas B berakhir?

Program Khas Peralihan ini dilaksanakan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak oleh pihak Kementerian Pengangkutan / JPJ.

13. Apakah syarat kelayakan bagi menyertai Program Khas Peralihan Kelas B2/B1 kepada Kelas B?
  1. Warganegara Malaysia;
  2. Memegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas B2/B1 sekurang-kurangnya 10 tahun dan ke atas secara berterusan;
  3. Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas B2/B1 aktif dan masih berkuat kuasa;
  4. Pemegang CDL Kelas A dan A1 adalah tidak layak;
  5. Bebas daripada senarai hitam JPJ & PDRM, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333;
  6. Lulus pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri; dan
  7. Menghadiri serta lulus kursus penyesuaian pengesahan amali selama dua (2) jam bersama Pegawai Penguji Berkelayakan (QTO) JPJ di Institut Memandu (IM).

14. Sekiranya LAYAK, di manakah saluran pendaftaran Program Khas Peralihan Kelas B2/B1?

Selepas membuat semakan kelayakan melalui Aplikasi MyJPJ, Portal Awam MySIKAP, atau Kaunter JPJ dan disahkan LAYAK, pemohon perlu:

  1. Hadir ke mana-mana Institut Memandu (IM) terpilih yang menawarkan latihan motosikal Kelas B dan mendaftar;
  2. Membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan/fizikal/minda semasa sesi pendaftaran di Institut Memandu.

15. Berapakah kadar fi bagi Program Khas Peralihan Kelas B2/B1 kepada Kelas B?

Kadar siling fi yang ditetapkan kepada Institut Memandu (IM) adalah sebanyak RM160.00 (tidak termasuk SST). Fi ini merangkumi:

  1. Pendaftaran dan insurans pelajar
  2. Kursus peralihan dan penyesuaian (2 Jam)
  3. Fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar)
  4. Fi ujian JPJ

16. Berapakah kadar fi pengeluaran Lesen CDL Kelas B selepas lulus program peralihan?

Selepas disahkan LULUS, pemohon perlu hadir ke kaunter JPJ berhampiran untuk proses pengeluaran CDL Kelas B. Kadar fi adalah seperti berikut:

Kategori Pemegang LesenFi (RM)
Memiliki CDL Kelas Motosikal (B/B2/C)20.00
Memiliki CDL Kelas selain Motosikal (D/E/H/I)30.00
Tambah Kelas (memiliki CDL tempoh > 10 tahun dan < 11 tahun)5.00

Nota: Tarikh tamat kuat kuasa lesen akan ditambah satu (1) tahun kecuali bagi urusan tambah kelas. Fi di atas tidak termasuk fi penyelarasan tarikh lahir.

17. Adakah ujian praktikal memandu masih perlu dilalui oleh pemohon program khas ini?

Ya. Ujian praktikal kekal dilaksanakan bagi menentukan tahap kecekapan dan kekompetenan setiap calon menunggang motosikal berkuasa tinggi.

18. Apakah yang berlaku sekiranya peserta gagal dalam ujian praktikal?

Peserta dikira GAGAL dan perlu mendaftar semula serta mengulangi keseluruhan proses latihan amali dan ujian praktikal.

19. Adakah pemegang lesen B2 atau B1 yang telah tamat tempoh layak menyertai program ini?

TIDAK LAYAK. Salah satu syarat mandatori ialah calon mesti memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas B2/B1 yang aktif dan masih berkuat kuasa.

20. Adakah pemohon perlu memiliki Lesen Belajar Memandu (LDL) Kelas B sebelum menyertai program peralihan ini?

Tidak perlu memiliki LDL Kelas B.

21. Jika pemohon tidak layak kerana senarai hitam, saman, atau sekatan Akta 333, adakah pemohon layak selepas menyelesaikan rekod tersebut?

Ya. Calon perlu menyelesaikan semua tunggakan saman, sekatan urus niaga, senarai hitam JPJ/PDRM, atau kes mahkamah di bawah Akta 333 terlebih dahulu sebelum membuat semakan semula kelayakan untuk menyertai program ini.

22. Pemohon mendapat mesej ralat "Bukan Warganegara Malaysia adalah TIDAK LAYAK" semasa semakan, apa tindakan perlu dibuat?

Sila log keluar dan log masuk semula ke aplikasi MyJPJ, kemudian lakukan semakan sekali lagi di menu "Semakan Kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B".

23. Apakah yang dimaksudkan dengan permohonan Lesen Memandu Kompeten (CDL)?

Permohonan penukaran daripada Lesen Memandu Percubaan (PDL) yang telah memenuhi tempoh dua (2) tahun kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL).

24. Adakah permohonan Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ?

Ya, urusan penukaran PDL ke CDL boleh dilakukan secara terus melalui aplikasi MyJPJ.

25. Apakah tempoh paling awal bagi membuat permohonan Lesen Memandu Kompeten (CDL)?

Permohonan penukaran dibenarkan seawal 7 hari sebelum tarikh tamat tempoh Lesen Memandu Percubaan (PDL) anda.

26. Sekiranya Lesen Memandu Percubaan (PDL) tamat tempoh melebihi satu (1) tahun, bolehkah permohonan CDL dibuat melalui aplikasi MyJPJ?

Tidak boleh. Sekiranya tempoh tamat PDL melebihi satu (1) tahun, permohonan tidak boleh diproses secara dalam talian dan pemohon perlu hadir ke kaunter JPJ bagi prosedur rayuan pelesenan pemandu.

27. Berapakah kadar bayaran untuk permohonan Lesen Memandu Kompeten (CDL)?

Kadar fi pengeluaran lesen CDL setahun adalah seperti berikut:

  • RM20.00: Kelas B2, B dan C (Warganegara)
  • RM2.00: Kelas A/A1 Kenderaan Orang Cacat (Warganegara)
  • RM30.00: Kelas D dan ke atas (Warganegara)
  • RM120.00: Semua kelas lesen bagi kategori Bukan Warganegara

28. Adakah bayaran pelarasan akan dikenakan semasa pembaharuan lesen?

Ya. Bayaran pro-rata pelarasan akan dikenakan sekiranya terdapat penyelarasan tarikh tamat tempoh lesen mengikut tarikh lahir pemegang lesen.

5. Soalan Lazim Penguatkuasaan Bersepadu

Soalan Lazim Penguatkuasaan Bersepadu

1. Apakah bentuk Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang ditetapkan pemakaiannya di Malaysia mulai 10 Februari 2023?

Mulai 10 Februari 2023, JPJ menetapkan pemakaian LMM dalam dua (2) bentuk iaitu bentuk cetakan fizikal seperti sedia ada atau bentuk digital yang boleh diakses di Aplikasi MyJPJ dengan menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar (mobile phone).

2. Mulai 10 Februari 2023, adakah pemandu/penunggang dikehendaki mengemukakan LMM dalam bentuk fizikal atau digital semasa diperiksa oleh pihak JPJ / PDRM?

Ya. Seseorang pemandu/penunggang perlu mengemukakan LMM semasa memandu/menunggang di jalan raya dan ketika pemeriksaan oleh pihak JPJ / PDRM sama ada dalam bentuk fizikal atau paparan digital.

3. Apakah bentuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang ditetapkan pemakaiannya di Malaysia mulai 10 Februari 2023?

Mulai 10 Februari 2023, JPJ menetapkan pemakaian LKM dalam dua (2) bentuk iaitu bentuk fizikal dipamerkan seperti sedia ada atau bentuk digital yang boleh diakses di aplikasi MyJPJ dengan menggunakan peranti elektronik.

4. Mulai 10 Februari 2023, adakah pemandu/penunggang dikehendaki mempamerkan LKM dalam bentuk fizikal atau digital semasa diperiksa oleh pihak JPJ / PDRM?

Ya. Seseorang pemandu perlu mempamerkan LKM fizikal atau mengemukakan LKM digital ketika pemeriksaan oleh pihak JPJ / PDRM.

5. Sekiranya saya pemilik kenderaan perdagangan, adakah saya boleh mendapatkan LKM digital di JPJ?

Bagi pemilik kenderaan perdagangan, LKM fizikal perlu dipamerkan seperti biasa sehingga pemakluman fasa seterusnya dibuat oleh pihak JPJ. Ini bermakna, dalam tempoh ini kenderaan perdagangan masih perlu menggunakan LKM cetakan fizikal dan dipamerkan pada cermin hadapan kenderaan.

6. Berdasarkan penguatkuasaan peraturan baharu pendigitalan dokumen terkawal JPJ, siapakah pihak yang masih perlu mengemukakan lesen memandu fizikal dan mempamerkan LKM fizikal?

Mulai 10 Februari 2023, hanya kategori pemandu atau kenderaan berikut yang masih perlu mengemukakan / mempamerkan dokumen secara fizikal:

  1. Pemegang Lesen Belajar Memandu (LDL).
  2. Pemegang Lesen Vokasional (PSV / GDL / KON).
  3. Pemegang Lesen Memandu Malaysia bagi warganegara asing.
  4. Pemegang lesen memandu negara luar oleh pemandu warganegara asing.
  5. LKM kenderaan perdagangan meliputi kenderaan barangan dan kenderaan perkhidmatan awam.
  6. LKM persendirian syarikat.
  7. Kenderaan pemilikan warganegara asing.

7. Bolehkah bayaran saman dilakukan di MyJPJ bagi saman yang telah disenarai hitam?

Boleh, walau bagaimanapun ia terhad kepada saman aktif dan berstatus DNAA yang boleh dikompaun sahaja.

8. Adakah kadar bayaran lebih rendah dikenakan jika saman dibayar dalam tempoh yang lebih awal?

Ya, terdapat pengurangan kompaun secara automatik yang dijana oleh sistem melibatkan kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun dan dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, pengurangan ini hanya melibatkan kesalahan-kesalahan tertentu sahaja.

9. Adakah MyJPJ memaparkan semua saman yang aktif dan selesai?

Tidak, saman yang dipaparkan di aplikasi MyJPJ adalah saman yang masih aktif sahaja. Semakan lanjut atau sejarah saman boleh dibuat melalui Portal Awam JPJ.

10. Adakah dibenarkan membayar kesemua saman yang dipaparkan di menu bayaran saman ini?

Ya, dibenarkan. Walau bagaimanapun, bagi setiap transaksi, pembayaran dihadkan kepada maksimum lima (5) saman sahaja. Baki saman seterusnya boleh dibayar melalui transaksi berikutnya.

11. Apakah jenis-jenis saman yang tidak boleh dibayar melalui MyJPJ?
  1. Saman yang tidak boleh dikompaun.
  2. Saman yang telah tamat tempoh tawaran kompaun.
  3. Saman yang dikeluarkan ekoran ketidakpatuhan kepada notis.

12. Apakah kaedah pembayaran yang diterima di MyJPJ untuk pembayaran saman?

Kaedah pembayaran yang diterima adalah melalui kad kredit / kad debit atau perbankan dalam talian (online banking) sahaja.

6. Soalan Lazim Pembayaran dan Transaksi

Soalan Lazim Pembayaran dan Transaksi

1. Sekiranya saya tidak mempunyai telefon pintar atau tinggal di kawasan tiada akses internet, adakah saya masih boleh memperbaharui LKM/LMM secara digital?

Pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan memperbaharui LKM/LMM secara digital melalui saluran terimaan lain seperti:

  • Kaunter JPJ / UTC
  • Kios JPJ
  • Kaunter bergerak JPJ Mobile
  • Portal Awam JPJ

Selain itu, perkhidmatan juga boleh diperoleh melalui rakan strategik JPJ yang dilantik seperti POS Malaysia, MyEG, dan PUSPAKOM.

2. Dengan pelaksanaan pendigitalan LKM/LMM ini, adakah pelanggan akan dikenakan kadar bayaran baharu atau kadar sedia ada?

Kadar bayaran yang dikenakan kepada pelanggan adalah kekal sama mengikut ketetapan fi sedia ada bagi setiap perkhidmatan.

3. Sekiranya membuat urus niaga di rakan strategik JPJ (POS Malaysia/MyEG/PUSPAKOM), adakah caj perkhidmatan tetap dikenakan walaupun memilih LKM/LMM digital?

Ya. Kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh rakan strategik adalah kekal sama walaupun pelanggan memilih untuk mendapatkan LKM/LMM secara digital, tertakluk kepada sebarang perubahan yang akan dimaklumkan kelak.

4. Apakah kaedah pembayaran yang boleh digunakan di aplikasi MyJPJ?

Pelanggan boleh membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja.

Kaedah pindahan perbankan dalam talian (FPX / direct debit) dan e-dompet (eWallet) sedang dibangunkan dan akan dimaklumkan setelah sedia digunakan.

5. Apakah status pembayaran yang dipaparkan di aplikasi MyJPJ?

Terdapat tiga (3) jenis status transaksi pembayaran:

  1. Berjaya: Transaksi selesai dan disertakan pautan untuk memuat turun resit rasmi.
  2. Pending: Transaksi sedang diproses. Sila buat semakan semula selepas 15 minit di menu 'Sejarah Transaksi'.
  3. Gagal: Pembayaran tidak berjaya diselesaikan. Pengguna boleh mencuba semula transaksi selepas 15 minit.

6. Bagaimana saya boleh melihat rekod pembayaran terdahulu di aplikasi MyJPJ?

Semakan rekod boleh dibuat melalui modul Sejarah Transaksi. Modul ini memaparkan pembayaran yang dilakukan di semua saluran kutipan hasil JPJ (kaunter, portal, MyJPJ, kios, dll.) bagi tempoh maksimum sehingga dua (2) tahun.

7. Sekiranya saya memohon pembayaran balik (refund) LKM, adakah saya masih perlu menyerahkan disk LKM yang asal?

Bergantung kepada pilihan format LKM semasa pembaharuan dilakukan:

  • Pilihan Fizikal: Pelanggan wajib mengemukakan dan memulangkan semula disk LKM fizikal asal tersebut.
  • Pilihan Digital: Tidak perlu memulangkan pelekat/disk fizikal.

8. Apakah dokumen sokongan yang perlu dikemukakan bagi permohonan bayaran balik LKM yang diperbaharui melalui MyJPJ?

Dokumen sokongan yang diperlukan adalah:

  1. Borang JPJ K6.
  2. Salinan pengenalan diri (ID) Pemunya Berdaftar.
  3. Salinan 'Butir-butir Bayaran Balik LKM' yang dicetak daripada Sistem MySIKAP.
  4. Maklumat nama dan nombor akaun bank pemunya berdaftar.
  5. Disk LKM asal yang dibatalkan (sekiranya memilih format fizikal semasa pembaharuan).
  6. Laporan polis sebagai ganti disk LKM asal bagi kes kenderaan hilang, kecurian, terbakar, atau kemalangan (jika berkaitan).

9. Sekiranya berlaku pembayaran dua (2) kali atau bayaran tanpa perkhidmatan (Bayaran Balik Selain LKM) akibat isu teknikal, apakah dokumen sokongan yang diperlukan?

Dokumen sokongan yang perlu dikemukakan bagi tuntutan Bayaran Balik Selain LKM ialah:

  1. Surat permohonan pulangan balik hasil selain LKM secara bertulis.
  2. Salinan Resit Rasmi transaksi berkaitan.
  3. Salinan ID Pemohon / Pemegang Kad Kredit atau Debit.
  4. Salinan ringkas penyata akaun bank pemegang kad berserta letterhead bank yang memaparkan nama dan nombor akaun.
  5. Dokumen sokongan lain yang berkaitan bagi menyokong tuntutan.

10. Ke manakah permohonan bayaran balik perlu dikemukakan?

Permohonan bayaran balik hendaklah dikemukakan mengikut saluran asal transaksi pembaharuan dibuat:

  1. Kaunter / Kios / JPJ Mobile: Dikemukakan secara manual kepada Cawangan JPJ berhampiran.
  2. Portal JPJ / Aplikasi MyJPJ: Dikemukakan ke Bahagian Hasil JPJ melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JPJ.
  3. Rakan Strategik (MyEG / POS Malaysia / PUSPAKOM): Dikemukakan terus melalui saluran pengurusan rakan niaga berkaitan.

7. Soalan Lazim Pemilikan Kenderaan Digital (eVOC)

Soalan Lazim Pemilikan Kenderaan Digital (eVOC)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan inisiatif Pendigitalan Sijil Pemilikan Kenderaan (eVOC)?

Pendigitalan eVOC sepertimana yang diumumkan oleh YB Menteri Pengangkutan pada 31 Julai 2024 adalah pelaksanaan secara dalam talian (online) dan paparan maklumat secara digital dengan menggunakan aplikasi MyJPJ yang dimuat naik dalam telefon pintar (smartphone) oleh orang awam.

2. Bilakah pelaksanaan Pendigitalan Sijil Pemilikan Kenderaan (eVOC) ini akan bermula?

Pelaksanaan inisiatif ini dilaksanakan secara berperingkat dan di peringkat yang pertama melibatkan paparan secara digital melalui aplikasi MyJPJ untuk kenderaan persendirian individu SAHAJA bermula pada 31 Julai 2024 di seluruh negara.

3. Bagaimanakah dengan urus niaga Cetakan Baharu dan Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan yang sedia ada?

Pada peringkat ini, Cetakan Baharu dan Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan masih boleh dilaksanakan dengan menggunakan saluran sedia ada iaitu di kaunter JPJ Negeri/Cawangan dan kios. eVOC hanya berbentuk paparan sahaja pada aplikasi MyJPJ.

4. Bagaimana pula dengan kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan yang dimiliki oleh syarikat/pertubuhan/entiti?

Pelaksanaan pendigitalan eVOC bagi kenderaan selain persendirian individu (kenderaan persendirian syarikat, kenderaan perdagangan dan lain-lain) akan diumumkan setelah fasa pertama ini teratur dan ketersediaan sistem berada dalam keadaan baik. JPJ juga sedang mengumpul maklum balas awam berkenaan pelaksanaan ini. Sehingga pengumuman tersebut dibuat, undang-undang dan prosedur semasa melibatkan urus niaga Cetakan Baharu dan Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan adalah kekal terpakai.

5. Adakah terdapat perubahan bayaran fi kepada Sijil Pemilikan Kenderaan setelah pelaksanaan pendigitalan ini?

Kadar bayaran fi Sijil Pemilikan Kenderaan bagi semua kenderaan adalah kekal sama dan tiada sebarang penambahan bayaran dikenakan susulan inisiatif ini.

6. Bagaimana pelaksanaan Pendigitalan eVOC sekiranya kenderaan tersebut milik orang lain dan digunakan oleh pihak ketiga?

Pelaksanaan Pendigitalan eVOC hanya melibatkan pemilik berdaftar kenderaan SAHAJA. Paparan tersebut eksklusif untuk dilihat dan diakses oleh pemilik berdaftar kenderaan tersebut.

7. Bagaimana jika saya tidak memiliki telefon pintar (smartphone)?

Bagi pemilik berdaftar kenderaan yang tidak memiliki telefon pintar, anda masih boleh mendapatkan Sijil Pemilikan Kenderaan secara fizikal melalui saluran kaunter JPJ dan kios.

8. Bagaimana jika saya memandu kenderaan milik orang lain?

Pemandu tidak perlu menunjukkan paparan eVOC semasa pemanduan harian kerana paparan dokumen eVOC ini hanya dikhaskan dalam aplikasi MyJPJ pemilik berdaftar kenderaan.

9. Bagaimana sekiranya berada di kawasan yang tiada liputan internet?

Fizikal Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) atau Butiran Maklumat Kenderaan (BMK) boleh digunakan sekiranya timbul keperluan rasmi untuk mengemukakan maklumat kenderaan di kawasan yang tiada liputan capaian internet.

10. Adakah Pendigitalan Mod Paparan eVOC ini boleh digunakan untuk urusan di PUSPAKOM?

Pelaksanaan pendigitalan eVOC pada masa ini terhad kepada kenderaan persendirian individu dan berfungsi sebagai mod paparan. Keselarasan penerimaan eVOC bagi urusan agensi berkaitan (seperti PUSPAKOM) akan diteliti dan dimaklumkan kemudian.

11. Adakah terdapat sebarang talian yang boleh dihubungi sekiranya terdapat pertanyaan atau masalah mengenai Pendigitalan eVOC?

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada pihak JPJ melalui saluran berikut:

  • Talian: 03-2724 2522
  • Emel: infodigital@jpj.gov.my

12. Adakah warga asing juga dimandatorikan untuk paparan eVOC pada aplikasi MyJPJ?

Pada masa ini, penggunaan aplikasi MyJPJ melibatkan paparan eVOC hanya terpakai kepada kenderaan persendirian individu milik warganegara Malaysia sahaja.

13. Adakah data pengguna di dalam sistem MyJPJ dilindungi undang-undang? Bagaimana sekiranya terdapat kebocoran maklumat?

Ya, maklumat pengguna dilindungi di bawah akta-akta berkaitan. Sekiranya anda mengesyaki terdapat kebocoran maklumat, aduan segera boleh dibuat kepada JPJ melalui talian 03-2724 2522 atau emel infodigital@jpj.gov.my.

14. Adakah aplikasi MyJPJ tersedia untuk kenderaan yang berdaftar di Sabah, Sarawak dan Pulau Bebas Cukai?

Ya. Pendigitalan Sijil Pemilikan Kenderaan (eVOC) melalui aplikasi MyJPJ adalah menyeluruh bagi kenderaan persendirian individu di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, serta kawasan bebas cukai (Pulau Langkawi dan W.P. Labuan).

15. Bagaimanakah jika pemilik kenderaan perlu ke luar negara melalui laluan sempadan yang memerlukan dokumen fizikal VOC?

Fizikal Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) masih boleh dimohon dan diperoleh di kaunter JPJ Negeri/Cawangan atau kios selaras dengan peraturan pergerakan kenderaan antarabangsa.

16. Adakah Pendigitalan Mod Paparan eVOC ini boleh digunakan untuk urus niaga yang memerlukan fizikal VOC di kaunter JPJ?

Buat masa ini, prosedur pengesahan tertentu yang berkuat kuasa masih memerlukan Sijil Pemilikan Kenderaan fizikal asal.

17. Bolehkah saya mendapatkan salinan cetakan Sijil Pemilikan Kenderaan sekiranya tidak mahu menggunakan aplikasi?

Boleh. Salinan fizikal Sijil Pemilikan Kenderaan boleh didapatkan melalui kaunter JPJ Negeri/Cawangan dan kios mengikut kadar bayaran fi semasa.

18. Saya pemandu e-hailing sepenuh masa menggunakan kenderaan milik bapa, bagaimana saya hendak memuat turun eVOC untuk kegunaan harian?

Paparan eVOC hanya dikhaskan dalam aplikasi MyJPJ milik pemilik kenderaan berdaftar. Pemandu tidak diwajibkan memegang atau memaparkan dokumen pemilikan eVOC semasa memandu.

19. Setelah menyemak, terdapat kesilapan butiran dalam eVOC (seperti ralat alamat). Apakah yang perlu saya lakukan?

Sekiranya terdapat percanggahan atau ketidaktepatan butiran dalam eVOC, anda boleh memajukan aduan rasmi kepada JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel di infodigital@jpj.gov.my.

20. Sekiranya saya ingin mengubah butiran maklumat pada eVOC, bolehkah pindaan dibuat secara terus melalui aplikasi MyJPJ?

Tidak boleh. Sebarang pertukaran butiran rasmi memerlukan pemilik berdaftar hadir sendiri mengemukakan permohonan pindaan maklumat di kaunter JPJ Cawangan/Negeri.

21. Jika telefon pintar saya hilang atau dicuri, adakah saya perlu memaklumkan kepada pihak JPJ?

Ya. Anda dinasihatkan memaklumkan segera kepada JPJ di talian 03-2724 2522 atau melalui emel di infodigital@jpj.gov.my untuk tindakan sekatan atau nyahaktif akaun bagi mengelakkan maklumat disalahgunakan.

22. Adakah ID aplikasi MyJPJ akan terbatal atau disekat sekiranya pemilik asal kenderaan meninggal dunia?

Pihak JPJ akan mengenakan sekatan terhadap akaun MyJPJ berkenaan sekiranya pemilik kenderaan disahkan meninggal dunia berasaskan rekod rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

23. Adakah paparan eVOC boleh diperoleh oleh seseorang yang berstatus waris sekiranya pemilik berdaftar meninggal dunia?

Tidak. Paparan eVOC eksklusif kepada peranti pemilik berdaftar sahaja. Urusan pusaka dan pertukaran milik kenderaan si mati perlu diuruskan mengikut saluran undang-undang sedia ada di kaunter JPJ.

24. Saya adalah warganegara asing yang memiliki kenderaan atas nama saya. Adakah saya boleh menggunakan eVOC?

Penggunaan paparan eVOC dalam MyJPJ buat masa ini terhad kepada warganegara Malaysia sahaja. Pemilik bukan warganegara boleh menggunakan Sijil Pemilikan Kenderaan bentuk fizikal sedia ada.

25. Adakah dokumen eVOC ini mempunyai tarikh luput dan perlu diperbaharui seperti LKM?

Tidak. eVOC merupakan perakuan hak milik kenderaan dan tiada sebarang tarikh luput dikenakan pada paparan dokumen tersebut.

26. Jika pemilik melakukan tukar hak milik kenderaan, adakah eVOC pada paparan aplikasi MyJPJ akan kekal disimpan?

Paparan eVOC hanya wujud bagi pemilik berdaftar semasa. Sekiranya kenderaan dijual dan proses pertukaran milik selesai, dokumen eVOC akan dipadam secara automatik daripada aplikasi pemilik lama dan berpindah terus ke aplikasi MyJPJ pemilik berdaftar baharu.

27. Adakah paparan eVOC boleh dikongsi sebagaimana fungsi Kongsi LKM?

Tidak boleh. Paparan pemilikan eVOC tidak mempunyai ciri perkongsian dan hanya boleh diakses secara peribadi oleh pemilik kenderaan yang sah.

28. Jika pemilik membuat permohonan pertukaran nombor pendaftaran (interchange), bagaimana paparan eVOC dikemas kini?

Paparan eVOC pada aplikasi MyJPJ milik pemilik berdaftar akan bertukar secara automatik kepada nombor pendaftaran yang baharu sebaik sahaja proses urus niaga pertukaran nombor pendaftaran selesai.

29. Apakah butiran maklumat yang dipaparkan pada eVOC?

Butiran maklumat yang dipaparkan pada e-sijil eVOC adalah setara dan menyerupai sepenuhnya data yang terkandung di dalam Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) fizikal sedia ada.

30. Saya mempunyai 10 buah kenderaan atas nama saya, adakah saya akan menerima paparan eVOC bagi kesemuanya?

Ya. Pemilik berdaftar akan menerima keseluruhan paparan eVOC bagi setiap nombor pendaftaran kenderaan yang sah didaftarkan di bawah nombor MyKad pemilik tersebut.

8. Soalan Lazim MyDigital ID

Soalan Lazim MyDigital ID

1. Saya belum mempunyai MyDigital ID. Bagaimanakah cara mendaftar?

Sila laksanakan pendaftaran MyDigital ID melalui kaedah berikut:

  1. Pendaftaran melalui kios MyDigital ID di Pejabat Cawangan JPN atau outlet Tealive terpilih yang berdekatan, atau layari pautan https://www.digital-id.my/#kiosk; atau
  2. Pendaftaran secara dalam talian (online) melalui aplikasi MyDigital ID.

2. Bagaimana menggunakan log masuk melalui MyDigital ID?
  1. Muat turun aplikasi MyDigital ID dalam telefon pintar anda melalui Huawei AppGallery, Google Play Store, atau Apple App Store.
  2. Daftar akaun MyDigital ID pada telefon pintar menggunakan MyKad dan cipta kata laluan minimum 8 aksara.
  3. Setelah mendaftar, log masuk menggunakan kata laluan yang telah dicipta semasa sesi pendaftaran.
  4. Pastikan status akaun MyDigital ID anda disahkan SAH.
  5. Buka aplikasi MyJPJ, klik pada pautan MyDigital ID, dan masukkan kata laluan MyDigital ID anda.

3. Lupa kata laluan MyDigital ID

Laksanakan proses pembatalan/revokasi MyDigital ID melalui kaedah berikut:

  1. Pembatalan melalui kios MyDigital ID di Pejabat Cawangan JPN berdekatan atau outlet Tealive terpilih (layari pautan: https://www.digital-id.my/#kiosk).
  2. Pilih menu pada aplikasi MyDigital ID anda, tekan butang "Set Semula", masukkan nombor MyKad, dan tekan "OK".
  3. Hadir ke kios dengan membawa MyKad fizikal untuk pengesahan cap ibu jari.
  4. Lengkapkan proses pembatalan di kios sehingga berjaya.
  5. Setelah proses pembatalan selesai, mulakan proses pendaftaran semula menggunakan kata laluan baharu (minimum 8 aksara).

4. Adakah akaun JPJeID sedia ada tidak boleh digunakan lagi?

Akaun JPJeID masih boleh digunakan, namun penggunaannya terhad di Portal Awam JPJ dan Kios JPJ sahaja.

5. Bagaimana kaedah pendaftaran JPJeID selepas pendaftaran di aplikasi MyJPJ ditutup?

Pendaftaran JPJeID diteruskan melalui saluran sedia ada di kaunter dan kios JPJ.

Bagi pengguna yang telah mempunyai MyDigital ID dan membuat log masuk kali pertama ke aplikasi MyJPJ, sistem akan menjana akaun JPJeID secara automatik. Kata laluan sementara akan dihantar terus ke alamat emel pengguna dan sah untuk tempoh tujuh (7) hari.

6. Bagaimana cara untuk set semula kata laluan JPJeID?

Pengguna boleh melaksanakan proses set semula kata laluan di Portal Awam JPJ.

Sila layari portal rasmi JPJ untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan MyDigital ID dan JPJeID.

Skip to content