KENYATAAN MEDIA RASMI

Operasi khas bas ekspres-OPS laju

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa komited dalam usaha untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya menjadi fokus utama jabatan. Kebelakangan ini, didapati banyak aduan yang diterima oleh JPJ berkenaan dengan kenderaan perdagangan terutamanya bas ekspres yang sering dipandu laju di lorong paling kanan lebuhraya.

Perbuatan ini amat berbahaya kepada penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Sehubungan itu, satu operasi khas bas ekspres akan dilaksanakan sepanjang lebuhraya utama negara bagi memastikan pemandu bas ekspres mematuhi peraturan semasa berada di jalan raya.

Strategi operasi khas ini terbahagi kepada beberapa pendekatan utama iaitu:
i. Operasi intensif rondaan di lebuhraya;
ii. Operasi penyamaran anggota penguatkuasa di dalam bas; dan
iii. Operasi penyamaran anggota penguatkuasa menggunakan kenderaan yang tidak berlogo jabatan.

Sepanjang operasi ini dijalankan, sekiranya didapati pemandu melanggar peraturan jalan raya, tindakan serta merta akan diambil kepada pemandu di hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuhraya. Sekiranya kenderaan berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau yang banyak, kenderaan tersebut akan disita dan tidak dibenarkan bergerak.

Selain itu, saman juga akan dikeluarkan dengan kompaun sebanyak RM300.00. Tindakan ini diambil mengikut peruntukan di bawah Seksyen 59, Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi ini akan tertumpu kepada kenderaan perdagangan khususnya bas ekspres yang melakukan kesalahan memandu di lorong kanan secara berterusan. Selain itu, operasi ini juga akan menumpukan kepada 7 kesalahan utama (7 big sins) yang kerap menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Sekiranya pemandu didapati melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, tindakan saman akan dikeluarkan.

DATO’ NADZRI SIRON KETUA PENGARAH PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA 2 OGOS 2016

[TAMAT]

Tags
jpj ops laju operasi khas bas ekpres
Sebelum