KENYATAAN MEDIA RASMI

Penjelasan berhubung penggantian perakuan pendaftaran kenderaan (GERAN) kepada sijil pemilikan kenderaan (VOC)

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia ingin merujuk kepada mesej berkenaan PENGGANTIAN GERAN KEPADA VOC yang disebarkan melalui media sosial dan aplikasi whatsapp beberapa hari ini. JPJ ingin memaklumkan, mesej atau kenyataan bahawa mulai 1 September 2016 pemilik kenderaan wajib hadir ke JPJ dan membuat pengesahan biometrik bagi urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (road tax) adalah TIDAK BENAR.

Proses pembaharuan Lesen Kenderaan Motor adalah kekal seperti sedia ada di mana pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke JPJ dan tiada pengesahan biometrik diperlukan bagi urusan ini. Mulai 1 September 2016, mana-mana kenderaan yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor akan dikeluarkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) baru bagi menggantikan Perakuan Pendaftaran Kenderaan (Geran) sedia ada.

Penggantian Geran kepada VOC juga akan dibuat, dalam urusan pindaan atau pembetulan rekod kenderaan yang belum penah mendapat VOC. Pengeluaran VOC pada kali pertama adalah percuma. Bagi kenderaan yang telah mendapat VOC sebelum ini, JPJ boleh mengeluarkan salinan VOC baru atas permintaan pemilik, jika berlaku sebarang pindaan atau pembetulan rekod kenderaan. JPJ ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej melalui media sosial dan aplikasi whatsapp yang tidak mempunyai sumber sahih dan kemudian menyebarkannya sebelum pengesahan dilakukan dengan pihak JPJ.

Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, 12 Ogos 2016

Tags
voc penggantian geran
Sebelum