OFFICIAL MEDIA STATEMENT

JPJ melancarkan program myLESEN pelajar sekolah bersama kementerian pendidikan malaysia

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Institut Memandu memperluaskan Program myLESEN kepada pelajar sekolah menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Program myLESEN yang diperkenalkan oleh JPJ di seluruh negara pada 15 September 2015 telah mendapat sambutan yang menggalakkan bagi membantu rakyat di luar bandar dan bandar untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 tunggal. Inisiatif ini diperluaskan kepada pelajar sekolah menengah bagi menggalakkan pelajar sekolah supaya mendapatkan lesen memandu serta memberi pendidikan dan pendedahan kepada pelajar berhubung kepentingan keselamatan jalan raya.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, didapati terdapat sejumlah 117,268 daripada 172,535 orang pelajar sekolah yang menggunakan kenderaan ke sekolah tidak memiliki lesen memandu yang sah dan terdedah kepada risiko kemalangan. Manakala, statistik kematian disebabkan kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar sekolah menengah bermula Januari sehingga Julai 2016, dilaporkan terdapat sebanyak 48 kes kematian.

Mengambilkira senario tersebut, JPJ dan Kementerian Pendidikan Malaysia membawa program myLESEN sedia ada kepada pelajar sekolah di sekolah-sekolah menengah supaya golongan ini dapat memiliki lesen memandu yang sah di sisi undang-undang.

Tags
jpj mylesen
Previous