UTC adalah singkatan kepada Urban Transformation Centre atau Pusat Transformasi Bandar. Ia adalah salah satu usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama Kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti Bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan. Ia merupakan sebahagian daripada strategi Lautan Biru yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui kerjasama strategik antara agensi Kerajaan dan sektor swasta. Secara umumnya, komuniti Bandar boleh membuat pelbagai urusan dengan jabatan Kerajaan dan swasta dalam satu bangunan dengan menjimatkan masa tanpa perlu pergi ke bangunan-bangunan Kerajaan yang lain. UTC turut menyediakan pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan NGOs.
Sebanyak 22 UTC telah diwujudkan di seluruh Malaysia seperti di LAMPIRAN A. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia adalah antara Agensi Kerajaan yang terlibat dengan perkhidmatan kaunter untuk menguruskan Urus Niaga JPJ. Antara perkhidmatan kaunter yang ditawarkan di UTC adalah seperti di LAMPIRAN B. Waktu pengoperasian UTC berdasarkan waktu yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) menjangkau waktu pejabat dan dibuka 24/7 kecuali atas arahan tertentu. Perkhidmatan kaunter JPJ di UTC dapat membantu memudahkan orang awam untuk menyelesaikan urusan dokumentasi berkaitan Urus Niaga JPJ di luar premis JPJ.
LAMPIRAN B - SENARAI URUS NIAGA DI PUSAT TRANSFORMASI BANDAR (UTC)