Skip to content
Portal Rasmi
JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA
Laman Utama / Maklumat Korporat / Perutusan / Kata Aluan Pengarah

KETUA PENGARAH
JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

YBHG. DATO' AEDY FADLY BIN RAMLI


KETUA PENGARAH
JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Seluruh warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia yang saya kasihi sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita terus diberi kekuatan untuk melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara dengan penuh iltizam dan dedikasi.

Tahun 2025 telah menjadi saksi kepada pelbagai pencapaian membanggakan yang berjaya dilakar oleh JPJ hasil komitmen, kesatuan dan pengorbanan seluruh warga kerja di setiap peringkat. JPJ berjaya merekodkan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah penubuhan jabatan iaitu sebanyak RM5.69 bilion melibatkan lebih 56.8 juta transaksi sepanjang tahun. Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepercayaan rakyat terhadap kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan JPJ.

Dalam masa yang sama, agenda pendigitalan jabatan terus diperkukuh melalui aplikasi MyJPJ yang kini menjadi medium utama rakyat mendapatkan perkhidmatan secara lebih mudah, pantas dan selamat. Pelaksanaan integrasi MyDigital ID pula membuktikan komitmen JPJ dalam memperkukuh keselamatan identiti digital serta mempertingkat pengalaman pengguna sejajar aspirasi Kerajaan Digital.

Penguatkuasaan JPJ juga terus diperkasa melalui pendekatan lebih strategik, berteknologi dan berintegriti. Pelaksanaan penggunaan Body Worn Camera (BWC), pemerkasaan aset penguatkuasaan serta pendekatan Perception of Being Caught (POBC) mencerminkan kesungguhan jabatan dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, telus dan konsisten demi keselamatan pengguna jalan raya.

Memasuki tahun 2026, JPJ akan terus melangkah dengan lebih progresif menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang memberi impak langsung kepada rakyat dan organisasi. Antaranya termasuk Program Pertukaran dan Pemberian Topi Keledar, Program MyLesen B2, pemerkasaan penguatkuasaan melalui aset moden, pelaksanaan pusat latihan pemanduan pasca-pelesenan serta pembangunan Super Apps JPJ sebagai gerbang utama perkhidmatan jabatan. Kesemua inisiatif ini menjadi bukti bahawa JPJ bukan sahaja sebuah agensi penguatkuasaan, malah institusi yang sentiasa mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa kebajikan warga kerja JPJ akan terus menjadi keutamaan jabatan. Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan termasuk penaiktarafan fasiliti pejabat, pembangunan semula infrastruktur jabatan serta penubuhan Majlis Sukan JPJ demi memastikan kesejahteraan warga terus dipelihara.

Sesungguhnya, kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada dasar dan sistem semata-mata, tetapi terletak pada nilai integriti, disiplin, kesatuan dan semangat kebersamaan seluruh warganya. Tema “Satu Suara, Serata-Rata” harus terus dihayati sebagai prinsip bersama dalam memastikan setiap dasar dan amanah dilaksanakan secara selaras, konsisten dan berimpak tinggi kepada rakyat.

Saya percaya, dengan semangat kerja berpasukan yang kukuh, iltizam yang tinggi serta kesetiaan kepada amanah yang dipikul, JPJ akan terus melangkah sebagai sebuah institusi yang progresif, dihormati dan diyakini rakyat.

Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JPJ atas segala pengorbanan, komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan kepada jabatan serta negara.

Marilah kita terus melangkah sederap, memperkukuh integriti, menyempurnakan amanah dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

“SATU SUARA, SERATA-RATA”

Sekian, terima kasih.

Skip to content