Skip to content
  1. Home
  2. /
  3. Pelaksanaan Sistem Kutipan Caj...

Pelaksanaan Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) Dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP)

LATAR BELAKANG

Projek sistem kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod kemasukan kenderaan asing (VEP) merupakan sebuah projek dibawah kementerian pengangkutan Jalan Malaysia (MOT) manakalan agensi pelaksana adalah Jabatan Pengangkutan Jalan. Tujuan projek ini adalah untuk mengenakan Caj Jalan dan mendaftarkan kenderaan yang memasuki Malaysia serta memantau pergerakan trafik di pintu sempadan Malaysia – Singapura (fasa pertama) serta dapat mengutip bayaran saman-saman tertunggak yang dikeluarkan oleh pihak JPJ dan PDRM. Lokasi projek ini adalah di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu bakar (KSAB) Johor.

Pada 29 Mac 2006, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu kadar surcaj (levi) dikenakan kepada kenderaan asing yang memasuki Malaysia. Keputusan Jemaah Menteri ini dibuat berikutan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Isu harga dan bekalan bahan Diesel yang diadakan pada 28 Mac 2006 yang membincangkan mengenai kaedah pelaksanaan penjualan barangan petroleum pada harga pasaran untuk kenderaan asing. Sehubungan itu Jemaah Menteri memutuskan kaedah paling praktikal ialah mengenakan caj terhadap kenderaan yang memasuki Malaysia.

Selain itu kerajaan juga ingin mengawal kemasukan kenderaan asing ke Malaysia atas sebab berikut:

  1. Kenderaan daripada singapura tidak dikenakan International Circulation Permit. Ini mengakibatkan rekod kenderaan yang memasuki Malaysia tidak lengkap
  2. Menghalang kemasukan kenderaan klon terutama daripada Singapura
  3. Mengenal pasti kenderaan yang keluar masuk sempadan Negara
  4. Kemasukan kenderaan asing turut menyumbang kepada isu keselamatan seperti jenayah penyeludupan, perdagangan manusia dan lain-lain rekod yang lengkap membantu siasatan PDRM dan agensi lain
  5. Kesukaran untuk mengenal pasti dan mengutip saman terhadap kenderaan yang keluar/masuk pintu sempadan

Sistem RC dan VEP ini dipasang di pintu sempadan Malaysia – Singapura. Sistem ini berfungsi untuk membaca nombor pendaftaran kenderaan dan merekodkan maklumat (berdasarkan tag RFID) kenderaan setiap kali keluar/masuk pintu sempadan negara dengan mengunakan kamera Number Plate Recognition Reader (ANPR) dan Tag RFID reader secara Fully Automated. Sistem akan merekod, mengenal pasti serta menyimpan rekod keluar/masuk kenderaan dipintu sempadan. Sistem juga akan mengenal pasti kenderaan yang perlu dikenakan RC. Sekiranya pemandu gagal membayar RC atau mempunyai kesalahan yang belum selesai (saman tertunggak) notifikasi kesalahan akan dipaparkan dan kenderaan akan dihalang dari keluar sempadan negara. Mesyuarat Majlis Ekonomi (EC) pada 18 Ogos 2014 telah memutuskan perkara-perkara berikut;

  1. Caj Jalan bagi kenderaan asing ditetapkan sebanyak RM20.00 sekali masuk bagi kenderaan persendirian pendaftaran asing,
  2. Kenderaan motosikal, teksi, bas dan kenderaan barangan adalah dikecualikan daripada Caj Jalan,
  3. Platform Touch ‘n Go (Contactless Smart Card, peralatan dan sistem bayaran Touch ‘n Go) digunakan untuk melaksanakan sistem kutipan caj bagi kenderaan asing; dan
  4. Pelaksanaan sistem akan mula berkuatkuasa pada 01 Januari 2015.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Mac 2015 telah memutuskan perkara – perkara berikut;

  1. Sistem kutipan Caj Jalan bagi kenderaan asing (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) dilaksanakan secara berfasa bermula di sempadan negeri Johor – Singapura pada 1 Ogos 2015,
  2. Supaya mana-mana sistem yang menyamai skop pelaksanaan RC dan VEP seperti  uCustom yang turut melibatkan pendaftaran kenderaan asing dan projek Multi Lane Free Flow (MLFF) yang berkaitan dengan pengunaan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) diselaraskan dengan sistem RC dan VEP,
  3. Setiap alat pengesanan yang digunakan mempunyai tempoh jangka hayat minimum 5 tahun; dan
  4. Kenderaan kerajaan bagi urusan rasmi, kenderaan diplomat, kenderaan barangan, kenderaan perkidmatan awam dan motosikal pendaftaran asing dikecualikan daripada RC.

Pelaksanaan sistem ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh disemua pintu sempadan negara bagi mengelakkan kejadian jenayah dan memastikan kawalan sempadan sentiasa terpelihara.

Sistem RC dan VEP ini akan dilaksanakan di semua pintu sempadan Malaysia secara berfasa iaitu:

  1. Fasa 1 : Malaysia – Singapura
  2. Fasa 2 : Malaysia – Thailand
  3. Fasa 3 :Malaysia – Brunei & Indonesia
  4. Fasa 4 :Pintu sempadan lain yang diwartakan

PUNCA KUASA

Menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi seksyen 66H untuk merekodkan semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia (VEP) dan seksyen 88(a)–(f) bagi melaksanakan kutipan caj jalan (RC) bagi kenderaan persendirian asing

KUTIPAN CAJ JALAN @ ROAD CHARGE (RC)

  • Semua kenderaan pendaftaran asing (kenderaan persendirian /kenderaan syarikat persendirian) yang memasuki Malaysia perlu membayar caj jalan (RC) sebanyak RM20
  • Kenderaan asing yang dikecualikan dikenakan caj jalan adalah kenderaan asing milikan kerajaan bagi urusan rasmi, kenderaan diplomat, kenderaan barangan, kenderaan awam dan motosikal.
  • Kaedah bayaran caj jalan dibuat melalui penggunaan kad Touch ‘n Go atau mengunakan aplikasi e-wallet Touch ‘n Go, pengguna perlu mengaktifkan aplikasi tersebut semasa mendapatkan tag RFID.
  • Caj jalan ini akan dikenakan setiap kali kenderaan asing memasuki Malaysia.
  • Pemandu kenderaan asing boleh membuat tambah nilai Touch ‘n GO di lokasi strategik di Malaysia (hentian R&R, stesen minyak, kedai serbaguna dan plaza tol yang terpilih).
  • Kaedah bayaran tidak boleh dibuat secara tunai hanya mengunakan medium e-wallet atau kad Touch ‘n Go sahaja.
  • Kegagalan membuat bayaran caj jalan boleh dikenakan tindakan undang – undang dibawah seksyen 88 APJ 1987.

REKOD KEMASUKAN KENDERAAN ASING @ VEHICLE ENTERY PERMIT (VEP)

  • Semua kenderaan asing sama ada kenderaan persendirian, komersial, awam, motosikal atau milikan kerajaan hendaklah mendaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum memasuki Malaysia.
  • Pendaftaran hanya dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi JPJ http://vep.jpj.gov.my dan tiada pendaftaran secara manual@kaunter
  • Pemilik atau pemandu sebelum memasuki Malaysia perlu membuat pendaftaran melalui laman web rasmi JPJ http://vep.jpj.gov.my (sila pastikan maklumat yang dimasukkan lengkap dan teratur bagi mendapatkan slip pengesahan pendaftaran yang akan di emailkan).
  • Tag RFID akan dihantar secara pos ke alamat yang diistiharkan oleh pemohon. Pihak JPJ (Vendor) akan menghubungi pemohon secara email untuk pengesahan penghantaran tag RFID VEP.
  • Harga yang dikenakan untuk tag RFID ialah RM10 (tidak termasuk caj penghantaran dan perkhidmatan).
  • Jika kenderaan asing masih belum dapat tag RFID sila bawa bersama slip pengesahan apabila memasuki Malaysia dan kemukakan sekiranya diminta oleh pegawai JPJ.
  • Pemilik kenderaan asing perlu memperbaharui tag RFID setiap lima (5) tahun bermula dari tag RFID VEP diaktifkan.
  • Pemilik kenderaan asing boleh menyemak tarikh luput tag RFID melalui portal dalam talian dan makluman kebiasaan dihantar melalui email peringatan 6 bulan sebelum tarikh tamat tempoh kepada pemilik.
  • Pemilik kenderaan asing boleh membuat kemaskini butiran pendaftaran dalam portal  http://vep.jpj.gov.my
  • Kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia hendaklah mempunyai pelindungan insuran kenderaan yang sah dan Certificate of Entitlement (COE) masih berkuatkuasa.
  • Tag RFID adalah unik dan tidak boleh ditanggalkan apabila dilekatkan pada kenderaan (rosak apabila ditanggalkan) dan tag RFID ini tidak boleh dipindah milik pada kenderaan lain.
  • Sekiranya tag RFID dicuri/hilang/rosak akibat kemalangan, pemilik dikehendaki mengemaskini status kenderaan di portal dalam talian.
Skip to content